227 PATI Indonesia dihantar pulang ke negara asal
12 November 2024
TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sabah (JIM Sabah) melaksanakan Program Pemindahan 227 Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri Ke-19 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024, hari ini.
Pengarah JIM Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata program ini melibatkan
pemindahan tahanan warganegara Indonesia daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar seramai 227 orang dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu (KJRI).
Pecahan tahanan yang dipindahkan balik ke negara asal secara terus dari Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka Indonesia pada Selasa adalah 107 orang tahanan lelaki, 71 tahanan perempuan, 44 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan 5 kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah.
Purata umur tahanan yang dihantar balik hari ini adalah dari 2 bulan sehingga 82 tahun.
"Kanak-kanak yang terlibat untuk penghantaran pulang kali ini adalah bersama ibu bapa dan penjaga
masing-masing.
"Proses pemindahan tahanan dengan iringkawal masuk sehingga ke dalam Feri Purnama Express dan Labuan Express", katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Saleha, kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar ke negara asal.
Katanya, kekerapan program pemindahan warganegara Indonesia yang dilaksanakan oleh JIM Sabah juga adalah tertakluk dengan kerjasama daripada pihak KJRI dalam mempercepatkan proses dokumentasi bagi tahanan seterusnya mengeluarkan dokumen perjalanan (SPLP – Sijil Perjalanan Laksana Pasport) untuk tahanan warga Indonesia bagi membolehkan tahanan terlibat dipindahkan ke negara asal.
"Operasi pemindahan ini adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh negeri Sabah.
"JIM negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing," tegasnya.
Comments