24 pemain Sabah bawa cabaran Kejohanan Badminton 100plus Junior Elite
top of page
  • Wartawan Nabalu News

24 pemain Sabah bawa cabaran Kejohanan Badminton 100plus Junior Elite



1 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Persatuan Badminton Sabah (SBA) menghantar seramai 24 pemain yang layak untuk membawa cabaran negeri dalam Kejohanan Badminton 100plus Junior Elite Tour Finals.


Kejohanan itu dijadualkan bermula pada 2 sehingga 7 ogos ini di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.


Skuad ini turut disertai oleh dua jurulatih, pengurus pasukan dan seorang pegawai pengiring.


Beberapa kategori terbabit antaranya perseorangan lelaki dan perempuan, beregu lelaki dan perempuan berusia 12, 14 dan 16 tahun.


Presiden SBA Janih Bangud, yakin dengan persediaan dari segi fizikal dan mental para pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam siri pusingan pertama dan kedua baru-baru ini.


Beliau berharap dengan kerjasama baik antara semua pihak terutama jurulatih dan ibu bapa dapat meningkatkan lagi pencapaian pasukan ini di pusingan akhir ini nanti.


“Kita berharap semua pemain dapat mempamerkan prestasi cemerlang yang konsisten sebagaimana mereka tunjukkan dalam dua siri kejohanan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Azril Fakhree Khainih (MSN Sabah), FLYPOWER dan Wan Nur Muhammad Wan Mustafa (WKW Eramaju Sdn. Bhd) yang sentiasa menyokong, membantu dan menaja keperluan serta kelengkapan para pemain.


Pasukan Sabah berlepas pagi ini ke kejohanan tersebut dan pengurus pasukan pada kali ini adalah Puan Hasniah A.M Nawir.

bottom of page