top of page
  • Wartawan Nabalu News

247 terima Anugerah Kecemerlangan KUSKOP

10 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Seramai 247 warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan empat daripada agensi kementerian itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), TEKUN Nasional dan SME Corp. Malaysia, menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada Majlis Apresiasi KUSKOP 2024, di Bangi Avenue Convention Centre, di sini, semalam.


Turut diraikan 55 pegawai KUSKOP yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 25 tahun dan lebih serta tujuh pegawai yang telah dan akan bersara pada tahun ini iaitu empat pegawai daripada KUSKOP dan tiga pegawai daripada SME Corp. Malaysia.


Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Pengerusi-Pengerusi Agensi dan ketua-ketua agensi dan pengurusan kanan KUSKOP.


Ketika berucap pada majlis itu, Ewon berharap, penganugerahan itu dapat menyuntik semangat dan mencetus inspirasi kepada seluruh warga kerja kementerian dan agensi untuk bersama-sama memberikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat dan negara tercinta.


“Kepada warga KUSKOP yang akan bersara, jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti, komitmen dan dedikasi yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan,” katanya.


Ewon berkata, majlis apresiasi ini amat bermakna bagi para pegawai yang telah memberikan sumbangan dan menunjukkan prestasi cemerlang semasa berkhidmat di KUSKOP.


“Bagaimanapun, penganugerahan ini bukan hanya semata-mata pengiktirafan kepada warga yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi yang tinggi terhadap tanggungjawab yang diamanahkan tetapi usaha ke arah membudayakan kecemerlangan secara menyeluruh dalam semua aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada stakeholders dan rakyat.


“Setiap warga kementerian dan agensi tanpa mengira jawatan, mempunyai peranan penting dalam melaksanakan amanah yang diberikan demi memastikan perkhidmatan yang diberikan dapat memenuhi ekspektasi serta melangkaui kehendak stakeholders dan rakyat.


“Pada saya, setiap seorang dari ahli keluarga KUSKOP tanpa mengira jawatan adalah aset penting dalam menjayakan setiap dasar dan agenda nasional yang telah ditetapkan,” katanya.


Ewon berkata, budaya kerja cemerlang dalam sesebuah organisasi bergantung kepada kecemerlangan modal insannya di mana setiap individu dalam organisasi merupakan aset utama yang berfungsi mengikut kepakaran dalam bidang masing-masing.


Selain itu katanya, budaya kerja cemerlang juga dapat dipupuk melalui semangat kebersamaan dan motivasi untuk saling membantu memajukan organisasi masing-masing.


Beliau turut berbangga dengan pencapaian dan sumbangan KUSKOP sejak beliau mula mengetuai pentadbiran Kementerian ini pada 2022 hingga kini.


“Semua pihak, baik di peringkat Kementerian mahupun di agensi, telah sama-sama berganding bahu, bersingsing lengan, memerah otak dan keringat, untuk memastikan para usahawan, penjaja, peniaga kecil dan koperasi dibangunkan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Comments


bottom of page