248 Graduan PSS terima Diploma masing-masing
- nabalunews
- Sep 22, 2024
- 1 min read

22 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Seramai 248 graduan Politeknik Sandakan Sabah (PSS) bagi sesi 2 2022/2023 dan sesi 1 2023/2024 menerima Diploma pada Majlis Konvokesyen PSS Kali Ke-11 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Sandakan pada Sabtu.
Graduan terbabit terdiri daripada 186 lulusan Diploma Agroteknologi dan 62 graduan Diploma Akuakultur dari Jabatan Agroteknologi dan Bio-Industri.
Majlis konvokesyen disempurnakan Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Zamzam Mohd Walid.
Majlis turut dihadiri Pengarah PSS, Mohd Sani Said, ibubapa, rakan-rakan industri Politeknik Sandakan Sabah yang telah banyak menyumbang kepada kejayaan graduan dan tetamu lain.
Berucap pada majlis itu, Zamzam berkata, dalam usaha menghasilkan graduan yang relevan dengan keperluan industri dan negara, Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti mengutamakan inisiatif academia-industry collaboration secara bersinergi antara kedua-dua pihak.
"Ini terbukti apabila graduan Politeknik dan Kolej komuniti berjaya mencapai kadar kebolehpasaran yang tertinggi pada tahun 2023 iaitu melebihi 97 peratus," katanya.
Pada majlis sama, Zamzam turut menyampaikan Diploma secara Anumerta kepada Allahyarhamah Siti Amira Saleh yang telah meninggal dunia pada Julai lalu yang diterima oleh keluarganya.
Turut disampaikan, Anugerah Pengarah dan Anugerah Projek Terbaik kepada graduan PSS terlibat.
Manakala Sani dalam ucapan beliau berkata, majlis konvokesyen ini bukan sahaja meraikan kejayaan para graduan, tetapi juga menjadi bukti komitmen PSS dalam melahirkan graduan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)
yang berkualiti dan berdaya saing.
Komentar