top of page

MSSD Kota Belud Ke-57 Dirasmikan: Angkat Sukan Wahana Perpaduan, Lahirkan Atlet Bertaraf ASEAN

  • nabalunews
  • 24 minutes ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


KOTA BELUD, 22 Jun – Majlis Perasmian Pembukaan Kejohanan Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kota Belud ke-57 tahun 2026 yang diwakili oleh Carlye Lajimin, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, telah berlangsung di Kompleks Sukan Botung Kota Belud hari ini.


Kejohanan anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud dengan kerjasama Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Tambulion dan Sekolah Rendah (SK) Rosok itu berlangsung dengan kemeriahan membabitkan atlet dari sekolah rendah, sekolah menengah, dan atlet berkeperluan khas (PPKI).


Dalam ucapan alu-aluannya, Pegawai Pendidikan Kota Belud merangkap Pengerusi Pengelola Kejohanan MSSD Kota Belud, Dr. Japran Hj. Kisin, menekankan bahawa setiap individu bertanggungjawab mencipta kejayaan sendiri.



"The best way to predict the future is to create it," katanya sambil mengingatkan semua atlet agar terus mencabar batas dalam mencapai kecemerlangan.


Japran memaklumkan bahawa daerah Kota Belud telah melahirkan ramai atlet yang berjaya ke peringkat MSSM dan Sukan ASEAN 2026, membuktikan potensi besar yang dimiliki daerah ini.


Namun, beliau mengakui bahawa kekangan utama PPD Kota Belud adalah dari segi kewangan untuk membiayai penyertaan atlet ke peringkat seterusnya.


Tambahnya lagi, PPD Kota Belud telah dipilih sebagai Tuan Rumah Kejohanan Sepak Takraw MSS Sabah 2026, satu pengiktirafan besar kepada daerah ini.


Dalam ucapan perasmiannya, Carlye menyatakan keyakinan bahawa peserta kejohanan hari ini berpotensi untuk mewakili Kota Belud, Sabah, dan Malaysia pada masa hadapan.


"Saya yakin peserta hari ini berpotensi mewakili Kota Belud, Sabah, dan Malaysia pada masa hadapan. Namun, bakat sahaja tidak mencukupi. Kejayaan memerlukan disiplin, pengorbanan, dan komitmen berterusan. Tiada jalan pintas menuju kecemerlangan," tegasnya.


Beliau turut menekankan kepentingan mengimbangi kemajuan teknologi dengan gaya hidup sihat, serta mengingatkan generasi muda supaya tidak terperangkap dengan skrin telefon dan media sosial.


"Sukan dapat membentuk generasi muda yang cergas, berdisiplin, dan berdaya tahan," ujarnya.


Carlye merakamkan penghargaan kepada guru dan ibu bapa yang menjadi tunjang kejayaan anak-anak, dengan mengingatkan bahawa di sebalik setiap kemenangan ada pengorbanan dan doa yang tidak pernah putus.


Para atlet juga diingatkan agar bertanding dengan semangat kesukanan, menghormati pengadil dan lawan, serta menerima keputusan dengan hati terbuka.


"Menanglah dengan rendah hati, dan jika tewas, terimalah dengan lapang dada kerana setiap kegagalan adalah guru terbaik untuk masa depan," katanya.


Beliau turut memberitahu bahawa beliau akan membawa isu permintaan PPD Kota Belud mengenai peruntukan kewangan kepada Menteri berkenaan.


Kejohanan bertemakan "Bersatu Melalui Sukan, Cemerlang Melalui Pendidikan" dan "Mencabar Batas, Menggapai Kejayaan" itu turut dihadiri Pengetua SMK Tambulion selaku Pengarah Kejohanan 1, Guru Besar SK Rosok selaku Pengarah Kejohanan 2, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Kadamaian Fandhy Rajin, serta para pengetua, guru besar, pegawai pengelola kejohanan, ibu bapa dan atlet.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page