top of page
  • Wartawan Nabalu News

25 belia dan wanita B40 Kadamaian sertai Kursus Asas Fertigasi


Shainim (duduk kanan) dan Dr.Rizoh (duduk tengah) bersama para penceramah dan peserta kursus.

26 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Seramai 25 peserta belia dan wanita kategori B40 dari beberapa kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menyertai Kursus Asas Fertigasi, di Dewan Serbaguna Pusat Khidmat Adun Kadamaian, di sini, kelmarin.


Kursus Fasa 1 ini anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Kadamaian dibawah seliaan APPGM-SDG.


Pengerusi Kelab Kebajikan Kadamaian Shainim Epin berkata, selepas kursus itu, sebahagian besar peserta akan mengikuti latihan lanjutan.



“Latihan lanjutan dilaksanakan melalui bimbingan di lapangan atau praktikal. Seramai 10 peserta pertama yang berjaya menyiapkan kertas kerja mini projek fertigasi dan telah menyediakan tapak untuk tujuan tersebut, akan diberikan satu set mini fertigasi (30 polibeg) untuk memulakan projek mereka.


“Selain set mini fertigasi yang disediakan secara percuma, peserta boleh menambah jumlah polibeg berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing.


“Selepas berjaya melaksanakan praktikal projek melalui set mini fertigasi, peserta akan dibantu untuk mendapatkan geran atau bantuan kewangan, bagi membolehkan mereka mengendalikan projek fertigasi masing-masing dalam sekala yang lebih besar,” katanya kepada Nabalu News, selepas kursus itu, kelmarin.



Shainim berkata, sasaran jangka panjang ialah menghasilkan sekurang-kurangnya 2,000 polibeg yang akan diusahakan oleh kumpulan peserta fertigasi 2022, sama ada secara berkumpulan atau persedirian menjelang 2025.


“Selepas itu peserta yang berjaya juga akan menandatangani kontrak memorandum persefahaman (MoU) antara pihak pemborong,” katanya


Beliau berkata, antara objektif kursus ini adalah untuk mendedahkan para peserta mengenai sistem fertigasi sebagai pertanian moden.



Selain itu katanya, ia juga bertujuan mendorong golongan belia di Kadamaian mengusahakan pertanian menggunakan teknologi moden.


“Kita juga menggalakkan para peserta mengusahakan penanaman fertigasi sebagai salah satu sumber ekonomi keluarga masing-masing.


“Pihak Kelab Kebajikan Kadamaian akan membantu peserta memasarkan hasil produk dan penanaman fertigasi tersebut,” katanya.


Sementara itu Pengarah Program Dr.Rizoh Bosorang berkata, selepas kursus para peserta akan dibimbing untuk menyediakan ringkasan kertas kerja projek fertigasi masing-masing, sama ada secara berkumpulan, berpasangan atau secara individu.


“Selepas itu, peserta akan menerima set mini fertigasi secara percuma daripada dana APPGM-SDG. Pada masa yang sama, peserta boleh menambah bilangan polibeg fertigasi mengikut kemampuan kewangan mereka, untuk tambahan kepada set mini fertigasi percuma yang diberikan,” katanya.


Jesmon Yamin

Seorang peserta kursus Jesmon Yamin dari Kg.Sayap berkata, kursus seumpama itu amat baik untuk menambah ilmu pertanian secara moden kepada para belia.


“Kedah penanaman menggunakan teknologi fertigasi ini adalah teknik penanaman moden yang lebih mudah dijaga kerana ia ditanam dalam pasu atau polibeg, menjimatkan masa dari segi meracun atau merumput," katanya.

Commentaires


bottom of page