268 KES BAHARU, TIGA KEMATIAN, SATU KLUSTER BAHARU DI SABAH
16 DIS 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini sebanyak 268 kes, menjadikan jumlah kumulatif 33,639 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, hari ini lima kes kematian dicatatkan iaitu tiga kes di Tawau dan dua kes di Lahad Datu.
“Terdapat satu kluster baharu dilaporkan di Kota Kinabalu iaitu Kluster Bukit Punai mencatatkan lima kes hari ini menjadikan kumulatif tujuh kes,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, daripada 268 kes positif Covid-19 hari ini, sebanyak 108 kes berpunca dari saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada, 106 kes dari saringan kontak rapat di 14 daerah, saringan bergejala 28 kes, saringan komuniti empat kes dan 22 kes adalah dari lain-lain kategori.
“Daerah yang mencatatkan kes tertinggi hari ini ialah Tawau dengan sebanyak 69 kes, Lahad Datu (52 kes), Kota Kinabalu (50 kes), Penampang (34 kes), Tuaran (20 kes), Papar (10 kes), Sandakan (sembilan kes), Putatan (tujuh kes), Ranau (empat kes), Kota Belud dan Beluran masing-masing tiga kes, Semporna dan Kuala Penyu masing-masing dua kes, Kudat, Tenom dan Telupid masing-masing satu kes.
Daerah-daerah lain tidak mencatatkan sebarang kes baharu hari ini. Kunak dan Nabawan dikategorikan sebagai zon hijau,” katanya.
Beliau berkata, hari ini seramai 459 pesakit Covid-19 sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 30,742 orang.
“Sejumlah 2,068 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 606 orang di hospital dan 1,462 orang di PKRC. Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 57 orang dan 14 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Comments