top of page

Pengeluaran getah asli turun 0.4 peratus pada Januari 2026

  • nabalunews
  • 52 minutes ago
  • 2 min read

12 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 0.4 peratus kepada 28,579 tan pada Januari 2026 daripada 28,684 tan pada bulan Disember 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).


Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 5.9 peratus berbanding 30,357 tan pada Januari 2025.


Menurutnya, pengeluaran getah asli Malaysia pada Januari 2026 sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor pekebun kecil iaitu 87.6 peratus manakala sektor estet menyumbang 12.4 peratus.


“Jumlah stok getah asli negara meningkat 9.3 peratus kepada 133,042 tan pada Januari 2026 berbanding 121,686 tan pada bulan sebelumnya.


“Kilang pemproses getah menyumbang sebahagian besar stok akhir iaitu 80.5 peratus, diikuti kilang pengguna getah (19.3 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan Perangkaan Getah Bulanan yang dikeluarkan DOSM pada Khamis.


Mohd Uzir berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 41,983 tan pada Januari 2026, meningkat 30.6 peratus daripada 32,139 tan pada Disember 2025.


Ujarnya, China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu menyumbang 40.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Januari 2026, diikuti Emiriah Arab Bersatu (15.2 peratus), Jerman (13.6 peratus), Amerika Syarikat (AS) (5.6 peratus) dan Brazil (3.6 peratus).


“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan, getah, tayar, tiub dan benang getah.


“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai RM1.2 bilion pada Januari 2026, menurun 8.5 peratus berbanding Disember 2025 (RM1.3 bilion),” katanya.


Menurut beliau, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat susut 0.01 peratus kepada 576.14 sen sekilogram (Disember 2025: 576.20 sen sekilogram) manakala sekerap meningkat 4.5 peratus kepada 618.72 sen sekilogram (Disember 2025: 592.08 sen sekilogram).


Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga Januari 2026 bagi getah TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 5.9 peratus daripada US$1.74/kg kepada US$1.84/kg, manakala Singapura/Malaysia meningkat 3.9 peratus (daripada US$2.06/kg kepada US$2.14/kg).


Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Januari 2026, pasaran getah Kuala Lumpur menunjukkan trend bercampur tetapi secara keseluruhannya stabil.


“Harga disokong oleh bekalan bahan mentah yang semakin terhad berikutan cuaca hujan di negara pengeluar utama, peningkatan harga niaga hadapan getah serantau serta penunjuk ekonomi positif dari AS dan China, termasuk perkembangan baik sektor automotif China.


“Bagaimanapun, kenaikan harga dihadkan oleh ketidaktentuan dasar perdagangan dan tarif AS, ketegangan geopolitik, turun naik harga minyak mentah, aktiviti pengambilan untung dalam pasaran niaga hadapan serta pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS],” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page