top of page

Perdagangan borong, runcit naik 7.3 peratus kepada RM159.8 bilion pada Januari

  • nabalunews
  • 47 minutes ago
  • 2 min read

12 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Sektor perdagangan borong dan runcit negara menunjukkan prestasi positif apabila mencatatkan jumlah jualan RM159.8 bilion pada Januari 2026, meningkat 7.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perdagangan runcit merekodkan jumlah jualan RM70.2 bilion, meningkat RM4.1 bilion atau 6.1 peratus berbanding Januari 2025.


“Perdagangan borong turut mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah jualan RM70.8 bilion, naik RM4 bilion atau enam peratus tahun ke tahun.


"Sementara itu, subsektor kenderaan bermotor terus menunjukkan pengembangan yang kukuh dengan jumlah jualan RM18.8 bilion, meningkat RM2.8 bilion bersamaan pertumbuhan 17.3 peratus berbanding Januari tahun sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata prestasi subsektor perdagangan runcit disokong terutamanya oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 7.9 peratus kepada RM27.5 bilion, dengan peningkatan jualan direkodkan kedai runcit, gedung serbaneka dan pasar raya.


Katanya, peningkatan aktiviti runcit turut dipengaruhi oleh cuti persekolahan, sambutan tahun baharu, pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) serta persediaan awal bagi sambutan Tahun Baharu Cina.


“Jualan runcit di kedai pengkhususan pula berkembang 5.4 peratus kepada RM14.7 bilion pada Januari 2026, didorong permintaan lebih kukuh bagi produk farmaseutikal, perubatan dan peralatan ortopedik serta barang kemas.


"Selain itu, jualan runcit bahan api kenderaan meningkat 7.0 peratus kepada RM6.5 bilion, manakala jualan runcit peralatan isi rumah naik 3.3 peratus kepada RM7.8 bilion, dipacu pembelian lebih tinggi bagi bahan binaan dan perkakasan, perabot isi rumah serta perkakas dapur," jelasnya.


Tambah beliau, subsektor perdagangan borong turut menunjukkan prestasi kukuh dengan jualan borong barangan isi rumah berkembang 9.4 peratus kepada RM15.2 bilion.


Peningkatan itu, katanya disumbangkan oleh jualan lebih tinggi bagi barangan pewangi, kosmetik, sabun dan kelengkapan dandanan diri, selain alat tulis, buku, majalah, surat khabar serta barang kemas.


“Kumpulan lain-lain pengkhususan jualan borong pula meningkat 4.3 peratus kepada RM25.7 bilion, disokong permintaan tinggi bagi bahan binaan, baja dan produk agrokimia serta kayu balak, kayu bergergaji, papan lapis, venier dan produk berkaitan.


“Pertumbuhan turut dipacu oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 5.8 peratus, didorong peningkatan jualan beras, bijirin lain, tepung dan gula, ikan serta makanan laut lain, selain kopi, teh, koko dan minuman lain,” ujarnya.


Bagi subsektor kenderaan bermotor pula, Mohd Uzir berkata jualan kenderaan bermotor mencecah RM9 bilion, meningkat 25.9 peratus tahun ke tahun, disokong kempen promosi awal tahun oleh pengedar automotif serta peningkatan permintaan pengguna menjelang musim perayaan.


Data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan sebanyak 64,298 unit kenderaan terjual pada Januari, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 67,995 pendaftaran kenderaan dalam tempoh sama.


Sementara itu, jualan runcit dalam talian terus mencatatkan pertumbiuhan positif pada Januari dengan indeks jualan meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun berbanding 8.9 peratus pada bulan sebelumnya.


Aktiviti pembayaran digital terus mencatatkan momentum pertumbuhan positif dengan transaksi e-money melonjak 55.4 peratus tahun ke tahun kepada RM30.3 bilion, manakala Real-time Payments Platform (RPP) mengekalkan prestasi kukuh dengan jumlah transaksi bernilai RM359 bilion.


Selain itu transaksi FPX berkembang sebanyak 32.6 peratus kepasa RM51.2 bilion, manakala transaksi kad kredit dan kad debit masing-masing merekodkan sebanyak RM20.7 bilion dan RM14.6 bilion.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page