271 kenderaan diperiksa dalam Operasi Bersepadu JPJ Sabah di Jalan Kuhara
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

21 Januari 2026
TAWAU: Sebanyak 271 kenderaan diperiksa dalam Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah bersama rakan strategik selama dua jam di Jalan Kuhara, malam tadi.
Pengarah JPJ Negeri Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, hasil pemeriksaan itu, 22 notis saman dikeluarkan melibatkan tujuh kenderaan, manakala tiada sitaan dibuat sepanjang operasi selama dua jam itu.
“Dalam operasi ini juga, pihak polis mengeluarkan 10 saman, manakala, JIM menahan empat lelaki dan antara kesalahan dikenalpasti adalah pemanduan tanpa lesen, lesen memandu tamat tempoh serta cukai jalan (road tax) tidak sah.
“Kesalahan ini merupakan kesalahan berulang yang sering dikesan walaupun operasi penguatkuasaan dijalankan secara berterusan. Oleh itu, kita menasihatkan para pengguna jalan raya supaya memastikan lesen memandu dan cukai jalan sentiasa sah,”katanya lagi.
Mohd Harris bercakap kepada pemberita selepas operasi tersebut yang dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Tawau, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurutnya, operasi yang bermula jam 8 hingga 10 malam itu bertujuan untuk meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya, membanteras kesalahan trafik serta mengekang pelbagai perlanggaran undang-undang, melibatkan warga tempatan dan asing.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan statistik keseluruhan tahun lepas merekodkan JPJ Sabah memeriksa lebih 576,000 kenderaan sepanjang tahun 2025, meningkat 43 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, sebanyak 112,000 saman dikeluarkan yang menunjukkan peningkatan 14 peratus berbanding 2024.
Manakala, pihaknya turut merekodkan sebanyak 3,350 notis saman dikeluarkan kepada kenderaan lebih muatan sepanjang 2025 iaitu peningkatan sebanyak 283 peratus berbanding tahun 2024, sekaligus menunjukkan peningkatan ketara tindakan diambil.
Tahun ini, katanya, JPJ akan terus mempertingkatkan pemantauan terhadap kenderaan berat, termasuk lori balak ke kawasan bandar pada waktu puncak, khususnya di kawasan hotspot kemalangan dan laluan yang sering menerima aduan awam.


















Comments