29 PATI Ditahan JIM Sabah
- nabalunews
- 5 minutes ago
- 1 min read

4 Mac 2026
RANAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua warga asing terbabit ditahan kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Hasil pemeriksaan terhadap 41 orang, seramai 11 lelaki, lapan wanita dan 10 kanak-kanak warganegara Filipina ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua individu terbabit ditahan kerana disyaki dengan munasabah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) & Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya.
Sehubungan itu katanya, JIM Sabah akan terus melaksanakan operasi mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin.
“JIM Sabah juga menyeru kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan mereka untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya.















Comments