• nabalunews

3,242 PESAKIT DI SABAH MASIH DIRAWAT



14 OKTOBER 2020

OLEH WARTAWAN NABALU NEWS

KOTA KINABALU: Seramai 3,242 pesakit Covid-19 di negeri ini sedang menerima rawatan dan 2,208 pesakit dilaporkan sembuh, sehingga hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga Menteri Kewangan II berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 5,493 kes.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini adalah 429 kes. Bilangan kematian adalah empat orang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu Masidi mengingatkan semua rakyat negeri ini termasuk para peniaga yang dibenarkan beroperasi agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dari segi pengagihan bantuan bakul makanan (food basket) kepada golongan sasar, beliau berkata ia berjalan lancar dan sehingga hari ini sebanyak 19,587 bakul makanan telah diagihkan.

“Pengagihan bantuan bakul makanan dipantau oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat,” katanya.

Masidi turut mengulangi bahawa, aktiviti dan pusat-pusat hiburan, kelab-kelab hiburan termasuk kelab malam, pub, panggung wayang dan aktiviti perjudian tidak dibenarkan beroperasi.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com