KKTP jelajah 25 majlis daerah dapatkan maklum balas PBT
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

4 April 2026
MEMBAKUT: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah akan mengadakan jelajah ke 25 majlis daerah di seluruh negeri bermula minggu depan bagi mendapatkan maklum balas berkaitan keperluan serta cadangan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menterinya, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata jelajah itu akan dimulakan dengan lawatan ke beberapa daerah termasuk Penampang, Putatan, Beaufort, Kuala Penyu dan Papar
“Dalam tempoh dua minggu pertama, sebanyak lima majlis daerah akan dikunjungi sebelum jelajah diteruskan ke Sandakan dan seterusnya ke Tawau.

“Secara keseluruhan, terdapat 25 majlis daerah termasuk majlis perbandaran di Sabah yang akan disantuni bagi membolehkan kementerian mendapatkan taklimat secara langsung daripada pihak majlis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Kesyukuran Aidilfitri di Kampung Pimping, di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Mengulas lanjut, Arifin berkata jelajah KKTP itu akan dilaksanakan serentak dengan program Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang akan memperkenalkan inisiatif Tadarus Subuh.
“Tadarus Subuh akan diisi dengan program khatam Al-Quran pada waktu subuh serta aktiviti bagi menggalakkan amalan bertadarus sepanjang tahun.
“Setiap program dijangka melibatkan lebih 300 peserta dan kita akan mengenal pasti lokasi sesuai di setiap daerah untuk pelaksanaannya,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), JHEAINS serta Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah turut akan melaksanakan program masing-masing dengan menyantuni masjid di daerah terlibat.
“Kita juga akan menyalurkan bantuan utiliti kepada masjid selain mengenal pasti keperluan pembaikan melibatkan masjid dan sekolah agama.
“Pada masa sama, saya akan melawat projek pembangunan sedia ada dan yang sedang dilaksanakan termasuk sekolah agama negeri, masjid serta surau,” katanya.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih serta Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar.















Comments