Kerjasama kerajaan, sektor swasta penting lonjakkan ekonomi Sabah – Ewon
- nabalunews
- 58 minutes ago
- 2 min read

25 Ogos 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dan sektor swasta perlu terus berganding bahu dalam memacu pertumbuhan serta membentuk masa depan ekonomi Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri mempunyai peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong pertumbuhan perniagaan dan pelaburan melalui dasar yang bersesuaian, penyediaan infrastruktur, kesalinghubungan, fasilitasi serta bentuk sokongan lain.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak mampu membina masa depan ekonomi Sabah secara bersendirian, justeru penyertaan kukuh sektor swasta khususnya ketua pegawai eksekutif (CEO), usahawan dan pemimpin industri amat penting bagi melengkapi usaha kerajaan.
“Kerajaan tidak mampu membina masa depan ekonomi Sabah secara bersendirian. Sebab itu, penyertaan kukuh sektor swasta, khususnya CEO, usahawan dan pemimpin industri amat penting dalam melengkapi usaha kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat.

“Saya percaya pemimpin-pemimpin industri mempunyai peranan penting dalam membentuk fasa seterusnya pembangunan ekonomi Sabah.
“Pengetahuan dan pengalaman yang dikongsikan akan menjadi lebih bernilai apabila ia menghasilkan idea baharu, kerjasama perniagaan, pelaburan dan inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan pada program CEO Masterclass 2026 anjuran Sabah Young Business and Industry Leaders (SYBIL) dan Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Program bertemakan ‘Leadership In Action – Beyond Certainty’ itu disertai lebih 400 CEO, pemilik dan pemimpin perusahaan serta industri, ketua jabatan dan peserta.
Ewon berkata, CEO Masterclass bukan setakat platform untuk mendengar pembentangan dan bertukar pandangan, sebaliknya perlu menghasilkan tindakan serta kerjasama yang memberikan impak kepada pembangunan ekonomi negeri.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan para peserta memanfaatkan sepenuhnya program berkenaan untuk bertukar idea dan pengalaman, membina jaringan merentasi industri serta meneroka peluang kerjasama baharu.
Ewon juga berharap perkongsian pengetahuan, pengalaman, idea dan jaringan menerusi CEO Masterclass 2026 akan berkembang menjadi peluang perusahaan baharu, mewujudkan peluang pekerjaan serta membuka lebih banyak kerjasama perniagaan dalam kalangan peserta.
Turut hadir Presiden SYBIL, Datuk James Wong dan Presiden MICCI Sabah, Datuk Susan Chang.















Comments