top of page

Jesse Yong rangkul tiga gelaran, dinobatkan Mr Sabah 2026

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

25 Ogos 2026


KOTA BELUD: Atlet bina badan kelahiran Keningau, Jesse Yong Ming King, 43, mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul tiga gelaran pada Kejohanan Mr Sabah 2026 yang berlangsung di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud, baru-baru ini.


Jesse yang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) muncul juara kategori Men’s Bodybuilding 75.1–80kg (Light Middleweight) dan Men’s Athletic Physique 170cm ke atas, sebelum dinobatkan sebagai Champion of Champions (COC) Mr Sabah 2026.


Jesse berkata, kejayaan itu hasil persiapan mental dan fizikal yang dilakukannya sejak tahun lalu bagi merealisasikan impian untuk merangkul gelaran berkenaan.


“Saya berasa sangat gembira kerana saya telah buat persiapan awal dari segi mental dan fizikal sejak dari tahun lalu. Saya telah pasang niat untuk buru gelaran ini sejak tahun lalu.”


Menurutnya, Mr Sabah 2026 merupakan pertandingan ke-10 yang disertainya sejak mula menceburi sukan bina badan pada 2022.


“Semasa mula bertanding dahulu, memang amat sukar kerana saya masih belum mempunyai pengetahuan cara diet yang betul. Setelah beberapa kali bertanding dan belajar dari kegagalan. Saya memperbaiki diri dari segi latihan dan cara pemakanan yang betul.”


Beliau berkata, persiapan lebih awal menjadikan pertandingan tahun ini antara yang paling mencabar, terutama dalam usahanya memburu ketiga-tiga gelaran tersebut.


Kejohanan yang dianjurkan Persatuan Bina Badan Negeri Sabah (SBBA) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud itu mencatat rekod penyertaan apabila seramai 98 atlet dari seluruh Sabah mengambil bahagian dalam 17 kategori yang dipertandingkan.


Selepas kejayaan itu, Jesse kini menyasarkan kejohanan Mr Malaysia 2026 bagi kategori Men’s Athletic Physique up to 175cm yang dijadualkan berlangsung di Alor Setar, Kedah, pada 1 hingga 5 Oktober 2026.


Beliau juga berharap dapat memperbaiki pencapaian pada kejohanan berkenaan selepas menduduki tempat kelima pada tahun lalu.


“Saya berharap tahun ini akan dapat kedudukan yang lebih baik berbanding tahun lepas yang mana sy hanya dapat di tempat ke-5.”


Jesse yang berusia 43 tahun kini bertugas sebagai anggota polis di Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page