top of page

OPS Tiris 4.0: KPDN Dan PPM Kudat Rampas 2,600 Liter Petrol

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

4 April 2026


KUDAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pasukan Polis Marin (PPM), berjaya merampas 2,600 liter minyak petrol yang dipercayai cuba diseleweng dalam serbuan di Kampung Pagasaon, Pitas, di sini, semalam.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, semasa serbuan dijalankan, seorang lelaki berusia 76 tahun ditahan selepas didapati memiliki barang kawalan tanpa sebarang kebenaran yang sah.


Katanya, semua minyak petrol berkenaan disimpan di dalam 13 tong drum yang diletakkan di bahagian belakang struktur bangunan dan ditutupi dengan kanvas dalam keadaan yang mencurigakan.

“Kes ini disiasat mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu kesalahan berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran yang sah.


“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan api yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, tindakan penguatkuasaan KPDN akan dipertingkatkan secara berterusan dan lebih agresif, terutamanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api.

“Pihak KPDN turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PPM Wilayah Empat Kudat atas kerjasama strategik yang diberikan

dalam menjayakan operasi ini.


“Ia termasuk dari aspek keselamatan anggota, sokongan logistik serta bantuan operasi di lapangan,” katanya.


Sementara itu, Nazatul Shima menegaskan operasi ini merupakan tindakan susulan kepada Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) yang digerakkan oleh Kerajaan melalui KPDN.


Katanya, ia memberi fokus kepada usaha menangani ketirisan barang kawalan di pasaran serta sebahagian daripada pelaksanaan Ops Tiris 4.0 bagi tahun 2026.


“KPDN Kudat juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan atau salah laku peniaga menerusi aplikasi WhatsApp ditiam 019-279 4317 dan 019-848 8000.


“Maklumat juga boleh disalurkan ke Portal Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre: 1-800-886-800 atau email ke eaduan@kpdn.gov.my serta Pejabat KPDN Cawangan Kudat ditalian 088-615301,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page