top of page

38.3 peratus pencarum KWSP capai tahap simpanan asas

  • nabalunews
  • Sep 8, 2025
  • 2 min read

8 September 2025


KUALA LUMPUR: Sebanyak 38.3 peratus atau 2.85 juta daripada 7.44 juta ahli aktif formal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 18 hingga 55 tahun telah mencapai tahap Simpanan Asas mengikut umur setakat 31 Julai lalu.


Ia berbanding hanya 30.4 peratus dicatatkan pada Disember 2022, iaitu setelah impak pengeluaran berkaitan Covid-19.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, seramai 1.38 juta pencarum Bumiputera telah mencapai paras Simpanan Asas mengikut umur diikuti kaum Cina 1.22 juta orang, kaum India pula seramai 214,000 orang manakala, kaum lain-lain seramai 38,000 orang.


Katanya, peningkatan yang tinggi dalam kalangan ahli aktif formal adalah lebih mencerminkan situasi sebenar kerana mereka merupakan sebahagian daripada tenaga kerja formal yang sedang bekerja dan mencarum.


"Sehubungan itu, baki simpanan persaraan ahli KWSP yang telah mencapai umur 55 tahun adalah tidak sesuai dijadikan ukuran sebagai mencukupi untuk tujuan persaraan.


"Pengukuran yang lebih sesuai bagi tahap kecukupan simpanan ahli KWSP adalah pencapaian simpanan asas mengikut umur pada fasa pengumpulan iaitu sebelum ahli boleh membuat pengeluaran bagi tujuan persaraan,” katanya di Dewan Negara hari ini.


Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai jumlah pencarum skim KWSP berdasarkan kaum berusia melebihi 55 tahun dan mempunyai simpanan mencukupi bagi menghadapi usia pencen mereka.


Amir Hamzah berkata, salah satu faktor utama menyumbang kepada tahap simpanan yang rendah, khususnya dalam kalangan ahli bumiputera, adalah kesan daripada beberapa siri pengeluaran khas yang dilaksanakan ketika krisis kesihatan dan ekonomi semasa pandemik Covid-19 dahulu.


“Walaupun langkah tersebut dapat membantu meringankan beban kewangan ahli pada waktu tersebut, ia telah menjejaskan kedudukan simpanan persaraan yang kini masih dalam proses untuk dibina semula.


“Oleh itu tumpuan pada masa kini, akan diberikan kepada usaha membina semula simpanan persaraan dan memastikan ahli menikmati pendapatan persaraan yang mampan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page