40 peratus: Sentimen ‘anak tiri’ jika AGC merayu
- nabalunews
- Nov 3
- 2 min read

3 November 2025
KOTA KINABALU: Jika Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat rayuan terhadap keputusan 40 peratus hasil Sabah, ia akan dilihat sebagai pengingkaran terhadap prinsip keadilan sosial dan autonomi Sabah.
Presiden Pertubuhan Sakag Talantang Sabah, Ramdi Indang berkata, rayuan itu juga berpotensi mengukuhkan sentimen di mana Sabah masih dianggap sebagai ‘anak tiri’ dan ini boleh mengubah landskap politik Sabah.
“Isu tuntutan 40 peratus ini berpusat pada dua artikel dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Artikel 112C ditafsirkan sebagai memperuntukkan pemberian geran khas dan penyerahan hasil kepada Sabah dan Sarawak.
“Artikel 112D pula adalah menyediakan mekanisme untuk semakan berkala terhadap geran khas berkenaan, yang mana ia sepatutnya dilakukan setiap lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Menurut Ramdi, kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan semakan mandatori ini sejak tahun 1974 telah dianggap oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebagai tindakan yang tidak sah.
Awal bulan Oktober, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memerintahkan Kerajaan Persekutuan untuk membuat semakan semula bersama kerajaan Sabah berhubung kelayakan hasil 40 peratus yang sepatutnya diberi kepada Sabah mengikut perlembagaan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Celestina Stuel Galid membenarkan semakan kehakiman difailkan SLS berkaitan hak perlembagaan Sabah untuk menuntut 40 peratus hasil bersih dikutip kerajaan Persekutuan dari negeri ini.
Ramdi berkata, jika dilihat dari sudut politik, kegagalan ini melambangkan pengabaian berterusan terhadap peruntukan perlembagaan yang melindungi hak Sabah.
“Dan apa yang dibimbangi menurutnya adalah jika Persekutuan membuat rayuan, AGC akan meletakkan pemimpin Sabah yang berada dalam kerajaan persekutuan, khususnya parti seperti UPKO, dalam keadaan yang sangat sukar.
“Menteri dari Sabah seperti Ewon Benedick telah menyatakan pendirian jelas bahawa AGC tidak patut merayu keputusan mahkamah ini,” katanya secara terbuka dan menyatakan akan membawa pendirian ini ke dalam mesyuarat Kabinet .
“UPKO berpendapat bahawa jika keputusan kerajaan untuk merayu bercanggah dengan prinsip yang diperjuangkan oleh seorang menteri, maka peletakan jawatan adalah "tindakan yang berprinsip" dan lumrah dalam sistem Westminster.
“Sistem Westminster adalah sebuah sistem parlimen Kerajaan demokratik dimodelkan daripada acuan Kerajaan United Kingdom. Sistem ini adalah suatu prosedur berturut-turut untuk menjalankan sebuah badan perundangan,” katanya.
Menurutnya, dalam isu 40 peratus Sabah, ia bukan sekadar tuntutan kewangan, tetapi telah menjadi simbol utama perjuangan autonomi Sabah.
“Daripada sudut keadilan sosial pula, rayuan tersebut akan mengukuhkan tanggapan bahawa kerajaan persekutuan mengabaikan kebajikan rakyat Sabah.
“Penafian berterusan terhadap hak yang dijamin perlembagaan ini menimbulkan rasa tidak adil dalam kalangan rakyat Sabah. Penghakiman mahkamah ini adalah satu kemenangan moral.
“Sebarang rayuan terhadapnya akan dilihat sebagai "tamparan" yang mengabaikan penderitaan rakyat Sabah yang selama ini tidak mendapat apa yang mereka mahukan walaupun dalam tuntutan perlembagaan,” kata Ramdi.
Menurutnya, ramai pihak melihat rayuan AGC itu berpotensi menjadi pemangkin kepada peralihan politik yang lebih besar di Sabah.
“Ia bukan sahaja membabitkan isu undang-undang tetapi adalah ujian terhadap komitmen kerajaan pusat untuk mewujudkan keadilan sosial dan mengamalkan federalisme yang sejati.
“Tindakan AGC seterusnya akan menghantar mesej politik yang mendalam tentang sama ada suara dan hak rakyat Sabah didengari atau terus tenggelam seperti layanan berat sebelah seorang ibu terhadap anak tirinya,” katanya.


















Comments