Lima Individu Melibatkan Dua Sindiket Pengedaran Dadah Ditahan
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

18 Mac 2026
KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan lima individu yang dipercayai terlibat dalam dua sindiket pengedaran 53 kilogram dadah jenis syabu dalam tiga operasi berasingan, baru-baru ini.
Semua dadah dianggarkan bernilai hampir RM2.65 juta dirampas hasil operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAB) dan serbuan di sebuah rumah di daerah Tawau.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di LTAB.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan pada 11 Mac lalu kira-kira jam 11.15 malam selepas pihak berkuasa mengesan tiga kotak mencurigakan melalui mesin pengimbas di laluan ketibaan antarabangsa.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 30.30 kg syabu yang disorok menggunakan taktik licik iaitu dimasukkan secara sistematik ke dalam kotak kayu simpanan botol wain bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Dadah itu dipercayai cuba diseludup masuk sebelum diserahkan kepada individu lain di negeri ini,” katanya dalam sidang media di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kepayan, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, operasi kedua dilaksanakan di Tawau oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau pada 13 Mac kira-kira jam 7.30 malam di sebuah premis stor penyimpanan kenderaan di Jalan Sin Onn.
Katanya, seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.
“Pemeriksaan membawa kepada penemuan tiga bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 3,071.04 gram bernilai RM214,973.
“Susulan serbuan itu, satu lagi operasi dijalankan oleh BSJND IPD Tawau pada hari sama kira-kira jam 8.30 malam di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Jawa, Jalan Mawar, Tawau,” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi berkenaan, tiga individu termasuk seorang wanita dan seorang warga emas berusia 73 tahun ditahan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 20 paket syabu seberat 20,471.12 gram dengan nilai anggaran RM1.43 juta yang disembunyikan di dalam bilik berkunci.
“Turut dirampas beberapa kenderaan termasuk motosikal, lori tiga tan dan sebuah Toyota Alphard dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan ini,” katanya.
Sehubungan itu, Jauteh berkata, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pihak polis akan terus mempergiat operasi bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah yang boleh merosakkan masyarakat.
“Siasatan masih dijalankan termasuk risikan bagi mengesan ahli sindiket lain yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ini.
“Kita juga menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah ini,” katanya.















Comments