46 ‘scammer’ warga asing ditahan
- nabalunews
- Feb 21
- 1 min read

21 Februari 2025
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 46 warga asing yang dipercayai menjadi dalang aktiviti penipuan atas talian dalam operasi di Kuchai Lama, Kuala Lumpur, semalam.
Dalam operasi jam 11.30 pagi itu, sebanyak 17 kondominium mewah yang dijadikan markas aktiviti ‘scammer’ diserbu pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semua warga asing yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 54 tahun.

Katanya, semua mereka didapati berasal dari negara China, Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Laos dan Thailand.
“Berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan hampir tiga minggu, semua premis berkenaan disewa oleh kumpulan sindiket untuk dijadikan sebagai pusat panggilan.
“Antara aktiviti penipuan adalah membabitkan tawaran pembelian emas, hartanah, kapal mewah, pelaburan saham dan mata wang asing yang tidak wujud,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, pihaknya turut mendapati mangsa yang disasarkan bukan hanya warga tempatan tetapi juga mangsa luar negara terutamanya warga negara masing-masing.
Katanya, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, TikTok, WeChat, WhatsApp, Telegram dan pelbagai aplikasi lain lagi sebagai medium mencari mangsa.
“Siasatan mendapati, kegiatan sindiket berkenaan mampu menghasilkan keuntungan yang dianggarkan mencecah RM100,000 ke RM150,000 sehari.
“Selain itu, anggota sindiket pula menerima upah sekitar RM2,500 ke RM3,500 sebulan,” katanya.
Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan, pasukan operasi berjaya merampas beberapa peralatan antaranya dua rak server, empat komputer riba, 88 telefon bimbit, tiga router, empat modem, 26 kad sim dan wang tunai RM100,000.
Sehubungan itu, Zakaria berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 atas pelbagai kesalahan.
Katanya, antara kesalahan dikesan ialah memasuki Malaysia tanpa pas yang sah, tinggal selepas tamat tempoh pas dan melanggar syarat pas lawatan sosial.
Comentarios