527,399 murid, pelajar mula sekolah di Sabah
- nabalunews
- Feb 18
- 1 min read

18 Februari 2025
KOTA KINABALU: Seramai 527,399 pelajar dan murid di seluruh Sabah memulakan persekolahan bagi sesi tahun 2025/2026 pada Isnin.
Jumlah itu melibatkan semua murid prasekolah, murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, mengikut rekod pecahan, seramai 21,169 adalah murid prasekolah dan 44,009 pula murid Tahun Satu untuk sekolah rendah.
Manakala katanya, bagi pelajar Tingkatan Satu pula melibatkan seramai 46,303 pelajar yang memasuki sesi persekolahan di sekolah menengah kali ini.
“Minggu pertama sesi persekolahan merupakan minggu suai kenal untuk murid dan ia berjalan dengan lancar.
"Proses pengajaran dan pembelajaran tidak dilaksanakan sepanjang minggu suai kenal.
"Aktiviti yang dilaksanakan oleh sekolah adalah untuk menarik minat murid hadir ke sekolah di mana mereka berasa seronok datang ke sekolah dan berjumpa dengan kawan-kawan mereka selepas bercuti selama sebulan,” katanya.
Raisin berkata, bagi murid Tahun Satu akan melalui Program Transisi Penyayang sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran formal di bilik darjah.
Beliau sebelum itu melawat lima sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu.
Sabah antara negeri dari Kumpulan B yang memulakan sesi persekolahan bermula Isnin selain Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Comentários