55 pemain badminton, bawa cabaran Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

55 pemain badminton, bawa cabaran Sabah



11 Mei 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Seramai 55 pemain bakal membawa cabaran negeri dalam Kejohanan Badminton 100 Plus Junior Elit Tour (Pusingan Pertama) yang dijadualkan bermula esok hingga 15 Mei ini.


Semua pemain membabitkan beberapa kategori iaitu perseorangan lelaki dan wanita, bergu lelaki dan wanita berusia 12, 14 tahun serta 16 tahun.


Presiden Persatuan Badminton Sabah (SBA), Janih Bangud berkata, pihaknya berharap para pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan yang berlangsung di negeri Perlis itu.


Katanya, seluruh pengurusan SBA juga berharap, pemain yang dihantar akan dapat beroleh kejayaan terbaik untuk masa depan masing-masing.


“Kita berharap semua pemain dapat mempamerkan prestasi cemerlang seperti yang ditunjukkan dalam kejohanan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Janih berkata, beliau juga berharap, semua pemain dan pengurus pasukan Sabah, Alfonso Fiel, supaya dapat menjaga kesihatan dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.


Katanya, ia bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara tidak diingini dan seterusnya menjejaskan prestasi pasukan.


“Selamat maju jaya kepada semua ahli pasukan dan mendoakan agar kita dapat membawa kejayaan,” katanya.


Sementara itu, Janih yang sebelum ini dilantik sebagai Pengurus Pasukan Badminton Malaysia pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam turut berterima kasih kepada syarikat Flypower dan WKW Eramaju Sdn Bhd yang memberi sokongan dengan menaja kelengkapan para pemain.

bottom of page