56 pasukan bersaing rebut juara Kadamaian Kota Belud Double Dart Open 2022
top of page
  • Wartawan Nabalu News

56 pasukan bersaing rebut juara Kadamaian Kota Belud Double Dart Open 2022


Ewon bergambar bersama sebahagian daripada peserta pertandingan itu.

5 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Seramai 56 pasukan seluruh Sabah bersaing merebut gelaran juara dalam pertandingan terbuka Kadamaian Kota Belud Double Dart Open 2022, di Dewan D’Lontupak View Kg.Purak Ogis, di sini.


Pertandingan yang berlangsung selama dua hari bermula kelmarin itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.


Sebelum ini Ewon menyampaikan sumbangan RM5,000 untuk menjayakan pertandingan itu.


Ewon berkata, beliau akan terus memberi sokongan aktiviti-aktiviti kesukanan termasuk Dart sebagai galakan kepada golongan belia kawasan Kadamaian bergiat aktif dalam sukan.


Ewon melontarkan dart sebagai simbolik perasmian.

“Pertandingan seumpama ini juga penting untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan peserta selain menggalakkan aktiviti pelancongan di Kadamaian.


“Saya berharap pertandingan ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mencungkil bakat-bakat baru dan juara baru dalam sukan dart,” katanya.


Sementara itu Pengerusi Penganjur yang juga Presiden Kelab D’Lontupak Dart Alexius Sagun berkata, pertandingan Dart kali keempat sejak 2017 bertujuan untuk mengeratkan persahabatan antara para pemain Dart seluruh Sabah.


“Kelab D’Lontupak Dart akan manghantar empat pasukan untuk menyertai pertandingan antara kelab Dart di Sabah bulan ini,” katanya ketika ditemui Nabalu News, pada hari pertama pertandingan Dart, semalam.


Ewon (kiri) bersama Alexius (Kanan) dan Mark (tengah).

Alexius turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas sumbangan dan sokongan berterusan terhadak aktiviti Kelab D’Lontupak Dart.


Beliau berkata, hadiah bagi kategori Double akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, naib juara (RM1,000), tempat ketiga dan keempat (RM500) dan tempat kelima hingga lapan pula akan menerima RM250.


Pihak penganjur turut menyediakan hadiah untuk ‘second chance’ iaitu juara sebanyak RM800, naib juara (RM400), tempat ketiga dan keempat sebanyak RM200.


Bagi kategori wanita perseorangan pula, juara akan menerima hadiah wang tunai RM300, naib juara (RM150), tempat ketiga dan keempat sebanyak RM70.


Menariknya, pertandingan itu turut disertai pemain dart yang pernah mewakili Malaysia ke pertandingan Dart Antarabangsa pada tahun 2017.


Beliau ialah Mark Jumin, 31, dari Tamparuli, pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan Dart Antarabangsa di Hong Kong (tempat kedua), Taiwan dan Thailand (top 4).


Mark berkata, beliau gembira dapat menyertai pertandingan itu sebagai latihan dan persediaan menyertai pertandingan peringkat antarabangsa.


bottom of page