57 PATI Ditahan
- nabalunews
- May 2
- 1 min read

2 Mei 2025
KUALA PENYU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan 57 warga asing hasil pemeriksaan terhadap 81 individu dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di dua penempatan warga asing di daerah ini, Rabu lalu.
Operasi bermula jam 12.30 tengah malam itu, dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dari tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Sipitang, dan Tenom.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi dilaksanakan hasil daripada risikan dan aduan awam yang dijalankan selama hampir sebulan.
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pasukan operasi bergerak ke penempatan warga asing dan memeriksa seramai 81 individu yang terdiri daripada warga asing dan warga tempatan.
"Hasil pemeriksaan, seramai 57 warga asing yang terdiri daripada 22 lelaki, enam wanita dewasa, 17 kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan warga Filipina manakala seorang lelaki warga Indonesia ditahan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh.
"Semua yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan lanjut," katanya.
Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang mengikut Akta Imigresen, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Katanya lagi, tindakan juga akan diambil terhadap individu atau pihak yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Comments