9 projek bekalan air di Labuan bernilai lebih RM133 juta siap sepenuhnya
- nabalunews
- 50 minutes ago
- 2 min read

27 Januari 2026
LABUAN: Sebanyak sembilan projek bekalan air di Wilayah Persekutuan Labuan bernilai lebih RM133 juta telah berjaya disiapkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui agensinya, Jabatan Bekalan Air (JBA).
PETRA berkata, tiga projek bernilai RM106.5 juta dilaksanakan secara berperingkat di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), manakala dua projek one-off di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dengan kos RM4.77 juta berjaya disiapkan dalam tempoh tujuh bulan.
"Selain itu,empat projek jangka pendek di bawah peruntukan RM300 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa Belanjawan 2024 turut berjaya dilaksanakan.
"Projek-projek ini melibatkan kos keseluruhan RM22.4 juta, merangkumi pembaikan peralatan mekanikal dan elektrikal, penggantian pam serta baik pulih tangki," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut PETRA, penyiapan semua projek itu bukan sahaja memperkukuh sistem agihan air di Labuan, malah membantu mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).
Pada masa sama, katanya, penambahbaikan infrastruktur bekalan air memberi impak besar kepada rakyat serta institusi penting di wilayah itu termasuk Hospital Labuan, Institut Latihan Perindustrian, sekolah-sekolah dan Labuan Crude Oil Terminal.
“Infrastruktur bekalan air yang stabil juga dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi Labuan sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa, sekali gus menarik leboh ramai pelabur.
“Berdasarkan rekod Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), jumlah aduan pengguna di Labuan menunjukkan penurunan sebanyak 15 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan peningkatan kualiti perkhidmatan bekalan air di wilayah ini,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, PETRA memaklumkan sebanyak 13 projek di bawah pelan jangka sederhana dan jangka panjang kini sedang dilaksanakan secara berperingkat, termasuk Program NRW Kebangsaan Pendekatan 1 Fasa 2 dengan anggaran kos melebihi RM470 juta.
Menurutnya, kesemua projek tersebut dirancang bagi memperkukuh sistem agihan, meningkatkan kapasiti serta mengurangkan NRW, sekali gus memastikan kesinambungan bekalan air bersih kepada seluruh penduduk Labuan.
“Kerajaan Persekutuan menerusi PETRA dan JBA akan terus memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan serta kerprihatinan terhadap keperluan rakyat,” katanya.














