top of page

91 murid SK Pulau Gaya keracunan makanan, kantin dan RMT dihentikan sementara waktu

  • nabalunews
  • Jul 23, 2024
  • 1 min read

23 Julai 2024


KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengesahkan insiden keracunan makanan membabitkan 91 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, di sini, pada Isnin.


Menurut Pengarah JPNS, Datuk Raisin Saidin, kejadian itu mula dikesan kira-kira 12 tengah hari apabila guru mendapati terdapat murid yang muntah-muntah dan mengalami simptom lain.


"Pihak sekolah segera mendapatkan maklumat lanjut dan mendapati lebih daripada 20 orang murid terlibat dalam keracunan makanan," kata Raisin dalam satu kenyataan media.


Berikutan itu, pihak sekolah membawa beberapa murid ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas untuk rawatan.


Murid lain yang terjejas juga mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Klinik Kesihatan Luyang, Klinik UTC Kota Kinabalu dan Jeti SAFMA Kota Kinabalu.


"Status kesihatan murid ketika dirawat adalah pada tahap dua dan dalam pemantauan pihak hospital," jelas Raisin.


"Tiada kes kritikal dilaporkan dan 90% murid dimasukkan ke hospital untuk pemantauan, manakala 10% lagi dibenarkan pulang ke rumah," tambahnya.


Katanya pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (PPDKK) telah membuat janji temu dengan pasukan Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk menjalankan siasatan dan mengambil sampel di sekolah pada hari ini (23 Julai).


"Perkhidmatan kantin dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah telah diberhentikan serta-merta demi keselamatan murid buat sementara waktu," ujar Datuk Raisin.


Siasatan mengenai punca keracunan makanan masih dijalankan dan belum dapat dipastikan sama ada ia berpunca daripada makanan di kantin sekolah atau RMT.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page