AADK Tahan 61 Penagih
- nabalunews
- Jul 17, 2025
- 1 min read

17 Julai 2025
KOTA KINABALU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berjaya menahan 61 individu selepas dikesan positif dadah dalam Op Cegah Khas yang dijalankan selama lima hari bermula 13 Julai lalu.
Dalam operasi berkenaan, seramai 72 individu ditahan untuk pemeriksaan awal sebelum 56 daripadanya didapati positif dadah.
Manakala lima lagi individu turut ditahan selepas disahkan positif menerusi keputusan makmal terdahulu.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, AADK Sabah mengesahkan seramai 67 individu diarahkan menjalani ujian saringan awal.
Katanya, hasil ujian berkenaan, seramai 56 orang didapati positif dadah, manakala lima lagi tidak menjalani ujian saringan kerana telah disahkan positif dadah berdasarkan keputusan makmal yang telah diperolehi lebih awal sebelum ini.
“Operasi berkenaan dilaksanakan secara serentak di lima daerah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Tuaran dan Keningau.

“Jenis dadah yang dikesan melalui ujian saringan ialah dadah jenis methamphetamine atau syabu,” katanya.
Menurutnya, objektif utama operasi itu adalah untuk mengesan, menahan dan membantu penagih menjalani rawatan serta pemulihan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024.
Pada masa sama katanya, ia juga bertujuan memutuskan rangkaian bekalan dan permintaan dadah serta memusnahkan sarang penagihan dadah di kawasan sasaran terutamanya di Kawasan Berisiko Tinggi (KBT).
Sehubungan itu, AADK menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penagihan dan pengedaran dadah menerusi hotline 1-800-22-2235 atau 019-626 2233.















Comments