top of page

JKNS laksana pelan transformasi tingkat kualiti perkhidmatan di HQE

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 1 min read

2 April 2026


KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaksanakan pelan transformasi menyeluruh bagi menambah baik kualiti perkhidmatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), yang berperanan sebagai pusat rujukan utama bagi 23 hospital di negeri ini.


JKNS dalam satu kenyataan memaklumkan, pelan transformasi itu merangkumi penambahbaikan infrastruktur dan aset, penyelesaian isu logistik dan tempat letak kereta awam, serta pengukuhan modal insan dan kebajikan petugas kesihatan.


“Bagi menangani isu aset usang dan kapasiti hospital yang terhad, JKNS telah mendapat kelulusan aset radiologi baharu bagi menggantikan unit sedia ada untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik.


“Selain itu, cadangan pembinaan blok tambahan kini berada di peringkat akhir bagi menambah kapasiti katil serta menyediakan fasiliti yang lebih kondusif untuk menampung kepadatan pesakit,” menurut kenyataan itu.


Berhubung isu kekurangan tempat letak kenderaan, JKNS memaklumkan pihaknya memandang serius isu tersebut, justeru penambahan kemudahan parkir turut dimasukkan dalam skop pembangunan klinikal baharu.


Pada masa sama, kerjasama dengan agensi pusat dan pihak berkuasa tempatan diperkukuh bagi menambah baik akses pengangkutan awam ke hospital berkenaan.


“Sementara itu, bagi menangani isu pengagihan tenaga kerja khususnya doktor dan pakar, JKNS sedang melaksanakan penyelarasan semula bagi memastikan keseimbangan nisbah doktor kepada pesakit antara HQE dan hospital daerah.


“Sebagai langkah mengekalkan tenaga mahir sedia ada, surat kelayakan elaun-elaun kerana bertukar dan berpindah bagi pegawai lantikan kontrak yang mendapat lantikan tetap di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tahun 2025 bertarikh 29 Januari lepas telah dikuatkuasakan bagi meringankan beban kewangan petugas barisan hadapan yang terlibat,” katanya.


JKNS menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh pelan transformasi tersebut bagi memastikan sistem kesihatan awam negara kekal berkesan dan mampan, khususnya demi kesihatan rakyat Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page