top of page
  • nabalunews

Acara larian Tawau Marathon bakal dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Sabah

18 Ogos 2024 

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Acara larian Tawau Marathon 2024 edisi sulung yang disifatkan sejarah baharu buat daerah ini bakal dimasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan Sabah.


Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, beliau akan mencadangkan perkara itu kepada Lembaga Pelancongan Sabah.


Beliau percaya acara itu akan mampu melonjakkan lagi Tawau menjadi destinasi pelancongan sukan di negeri ini.


"Kita akan tambah baik lagi penganjuran acara larian ini sebagai satu jenama atau produk pelancongan sukan pada masa akan dengan sokongan semua pihak terlibat," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Tawau Marathon 2024 dan menyempurnakan pelepasan larian itu di padang bandaran Tawau, di sini, hari ini.


Sementara itu, Pengerusi Kelab Pelari Tawau (Tawau Runner's) Dulmi Mular, optimis menjadikan larian tersebut sebagai acara tahunan, sekaligus mengangkat Tawau sebagai destinasi pelancongan sukan.


Menurutnya, pada awal penubuhan Tawau Runner's, pihaknya bermula dengan menganjurkan acara Fun Run larian 5 dan 10 kilometer (km) dan larian separuh marathon (21km) sebelum menyimpan cita-cita menganjurkan acara Marathon penuh.


Acara kali ini disertai lebih 2,000 pelari, termasuk dari 15 negara luar yang bertanding dalam empat kategori 42km (Full Marathon) 21km (Half Marathon) dan Fun Run 10km dan 5km.


Sementara itu, Malim gunung, Wilson Singgin, mengungguli kategori Lelaki terbuka dengan catatan masa 3 jam dan 13 minit, manakala kategori Wanita Terbuka dimenangi peserta Vietnam, Cahg Nong (3 jam 25 minit).


Pelari Kenya Denis Isika, muncul pelari terpantas bagi kategori 42km Lelaki Veteran dengan catatan masa 2 jam 52 minit, manakala kategori 42km wanita veteran dimenangi pelari Vietnam, Hien Ngu Yen (3 jam 30 minit).

コメント


bottom of page