top of page

KPDN Kompaun Peniaga Bazar Ramadan Gagal Patuhi Peraturan

  • nabalunews
  • 13 minutes ago
  • 2 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


5 Mac 2026


TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau mengambil tindakan tegas terhadap beberapa peniaga di Pasar Ikan, Pasar Tanjong dan Bazar Ramadan semalam atas kesalahan gagal memaparkan tanda harga dan menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh.


Pengarah KPDN Tawau, Shahril Nizam Shahidin memaklumkan bahawa dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT), sebanyak empat gerai telah ditawarkan kompaun di tempat kejadian (OTS) atas pelbagai kesalahan.


"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat peniaga yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Antaranya ialah gagal meletakkan tanda harga pada barangan jualan dan menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh penentusahan untuk urusan perdagangan," katanya.


Kesalahan gagal memaparkan tanda harga merupakan pelanggaran di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723]. Manakala penggunaan alat timbang tamat tempoh pula dikenakan tindakan di bawah Akta Timbang Dan Sukat 1972.


Bagi kesalahan di bawah Akta 723, individu yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun maksimum RM5,000, manakala syarikat atau pertubuhan boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.


Operasi bersepadu yang dijalankan ini merupakan inisiatif berterusan KPDN untuk memperkukuhkan penguatkuasaan serta memastikan hak pengguna terus dilindungi. Kerjasama pelbagai agensi bertujuan memastikan peniaga mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan oleh setiap pihak.


Bagaimanapun, pihak KPDN memaklumkan majoriti peniaga di ketiga-tiga lokasi pemeriksaan didapati mematuhi undang-undang yang ditetapkan, termasuk mempamerkan tanda harga dengan jelas dan menggunakan alat timbang yang masih dalam tempoh sah.


KPDN Tawau dan agensi terlibat akan terus mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa, khususnya menjelang musim perayaan, bagi memastikan aktiviti perniagaan berjalan secara beretika dan mematuhi undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page