Adat, warisan dan budaya wajar dikekalkan
3 November 2024
SANDAKAN: Kerajaan sentiasa menyokong inisiatif dan usaha yang dilaksanakan dalam memartabatkan kepelbagaian budaya bangsa yang ada di negara ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata, ini penting agar generasi akan datang juga dapat mengenali adat, budaya dan warisan yang diwarisi sejak dahulu.
Mengambil contoh penganjuran tarian singa kebangsaan dan antarabangsa, ia juga mampu mempamerkan kebudayaan dan warisan yang perlu terus dijaga dengan sebaiknya sesuai keunikan yang ada.
Hajiji berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Tarian Singa Kebangsaan dan Antarabangsa Little Hong Kong di Kompleks Sukan Sandakan hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.
Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan merangkap Pengerusi Penganjur, Vivian Wong Shir Yee, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung dan jemputan lain.
Sebanyak 12 pasukan antaranya Malaysia, China, Hong Kong, Singapura, Vietnam dan Brunei Darussalam menyertai acara itu.
Sementara pada Sabtu, pertandingan peringkat kebangsaan disertai lebih 10 pasukan seluruh negara yang mana majlis penutupannya disempurnakan oleh Chua Yong Wei yang juga Setiausaha Sulit Kepada Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang mewakili menterinya.
Program itu merupakan antara acara sempena Little Hong Kong Food Fair anjuran Junior Chamber International (JCI) Sandakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Sandakan dan Persatuan Harapan Dinamik Sabah.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, Sandakan yang terkenal dengan jolokan Little Hong Kong suatu masa dahulu juga telah lama menyimpan kepelbagaian warisan seperti tarian singa yang dibawa pengembara terdahulu dan ia kekal diwarisi sehingga ke generasi hari ini.
Tambah beliau, tarian singa juga berkembang di negara ini dan menjadi sebahagian kebudayaan terutama pada perayaan Tahun Baru Cina dan haru penting yang lain.
Malah, pada Ogos tahun ini, kerajaan Malaysia dan China telah bersama-sama mencalonkan tarian singa untuk senarai warisan budaya UNESCO, satu langkah yang beliau pasti akan meningkatkan lagi status bentuk seni lama yang terkenal ini di peringkat serantau dan global.
Sementara itu, Hajiji berkata, peruntukan RM56.75 juta untuk sekolah dan badan agama bukan Islam di negeri ini juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memupuk persekitaran inklusif.
Ia juga memperlihat tambahan RM2.7 juga berbanding RM54.05 juta pada tahun lepas.
Selain itu, pada Januari tahun ini, kerajaan negeri Sabah juga telah menyumbangkan kepala singa kepada 39 persatuan tarian singa di Sandakan yang juga tanda perpaduan dan keharmonian.
Dalam pada itu, pada Sabtu, sejurus pertandingan tarian singa peringkat kebangsaan, Vivian berkata, program seumpama juga diharap dapat dilaksanakan setiap tahun dalam menarik pengunjung dalam dan luar negara dan mengenali budaya dan tradisi yang ada di negara ini.
Dalam masa sama, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama pelbagai kementerian seperti Kementerian Belia dan Sukan serta MOTAC dalam penganjuran akan datang di peringkat antarabangsa itu di Sandakan.
Comments