Adun Petagas keluar Warisan, sertai Gagasan Rakyat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Adun Petagas keluar Warisan, sertai Gagasan Rakyat


Ahmad Awang(duduk dua dari kanan) pada sidang media itu.

27 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Sahari mengumumkan keluar Parti Warisan dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.


Awang Ahmad yang juga Bendahari Agung Warisan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan para pemimpin bahagian parti itu.


“Pada hari ini saya berserta semua ketua wanita, ketua wirawati dan wira, kecuali dua tiga ahli jawatankuasa bahagian mengumumkan keluar parti Warisan.


“Kesemua 90 cawangan kecuali tiga hingga empat cawangan Warisan bahagian Putatan juga mengumumkan untuk meninggalkan parti Warisan dan menyertai Parti Gagasan Rakyat,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.


Awang Ahmad berkata, sebelum membuat keputusan itu beliau telah mengadakan perbincangan dengan para pemimpin bahagian dan bersatu hati meninggalkan Warisan.


"Saya bukan orang kaya, sebagai ADUN, saya juga tiada masalah teruskan politik saya. Dua tahun setengah lagi umur saya juga sudah 63 tahun, saya perlu fikir masalah rakyat, masalah pemimpin parti, jentera parti dan rakyat yang beri kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.


"Jadi atas dasar itu saya nekad keluar dan sertai Gagasan Rakyat. Saya jumpa Hajiji dua kali dan terakhir pada Jumaat lalu mengenai kerjasama dengan Gagasan Rakyat di kawasan Petagas, selain di Tanjung Aru," katanya.


Beliau turut menekankan keikhlasannya menyertai Gagasan Rakyat tanpa mengharapkan sebarang balasan seperti didakwa pihak lain terhadap bekas pemimpin Warisan yang keluar parti itu sebelum ini.


Awang Ahmad yang juga bekas ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bertading di DUN Petagas atas tiket Warisan pada pilihan raya negeri Sabah 2020 dan memenangi kerusi itu dalam pertandingan enam penjuru.


Sebelum ini tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) WARISAN iaitu Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak) mengumumkan keluar meninggalkan parti itu.


bottom of page