ADUN PH Sabah mahu kestabilan politik, tidak sokong usaha tubuh Kerajaan pintu belakang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

ADUN PH Sabah mahu kestabilan politik, tidak sokong usaha tubuh Kerajaan pintu belakang


5 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) Sabah berpendirian mahu memastikan kestabilan politik Sabah dan tidak mahu menyokong kerajaan yang dibentuk melalui pintu belakang.


Adun-Adun PH Sabah itu ialah Datuk Christina Liew (Api-Api), Datuk Fung Ming Poon (Tanjung Papat), Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).


“Kami memerhati dengan serius perkembangan politik di Sabah dan telah mengadakan perbincangan sesama ADUN PH Sabah seramai tujuh orang mengenai situasi semasa ini.


“Kami ingin memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020.


“Jika ada pihak yang mendakwa mendapat akuan bersumpah daripada kami, maka ianya tidak benar melainkan kenyataan terakhir kami selepas sidang Dewan Undangan Negeri Sabah pada November 2022 yang lepas.


“Kami juga menyatakan pendirian dan keputusan secara en-bloc untuk memastikan kestabilan politik Sabah dibina agar tadbir urus pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Adun-Adun PH Sabah itu juga berpendirian tidak mahu menyokong Kerajaan yang dibentuk melalui pintu belakang.


“Sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan baharu seharusnya berdasarkan agenda yang konstruktif dan polisi yang baik demi kepentingan rakyat Sabah.


“Jika tidak, rakyat akan marah kerana ahli politik dilihat tamak kuasa dan rampas kuasa semata-mata,” kata kenyataan itu.


bottom of page