Adun PH Sabah tidak setuju DUN Negeri dibubar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Adun PH Sabah tidak setuju DUN Negeri dibubar

7 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak bersetuju Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri dibubarkan sekiranya kemelut politik di negeri ini berteruusan dan kedudukan DUN buat masa ini terus tergantung (Hung State Assembly.


Tujuh Adun PH Sabah iaitu Datuk Christina Liew (Api-Api), Datuk Poon Fung Ming (Tanjung Papat), Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam) menyatakan perkara itu dalam satu kenyataan media hari ini.


Kesemua Adun PH Sabah itu turut mengulangi pendirian mereka sebelum ini bahawa mereka tidak menyokong sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui cara “pintu belakang”.


“Kami berasa amat kesal melihat Sabah sekali lagi berhadapan dengan kemelut politik yang sepatutnya tidak berlaku.


“Seharusnya fokus utama kita adalah memastikan matlamat perjuangan kita membantu rakyat dan membangun ekonomi serta bersama-sama berusaha untuk memastikan perjuangan MA63 direalisasikan selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Adun PH Sabah, dalam kenyataan bersama, hari ini.


Sehubungan itu, kesemua Adun PH Sabah memaklumkan bahawa mereka memberi sokongan kepada Ketua Menteri sedia ada, iaitu Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor yang juga ADUN Sulaman.


“Ini selari dengan prinsip kami untuk memastikan kestabilan politik terus mantap di Sabah dan tidak terlibat dalam langkah seperti Langkah Sheraton.

“Susulan sokongan ini, kami bersetuju bahawa satu Kerajaan Perpaduan Sabah boleh dibentuk seperti amalan di peringkat persekutuan.


“Kami berdoa agar kemelut politik akan berakhir dalam masa terdekat dan kesejahteraan rakyat Sabah terus dibela dengan sokongan ini,” kata kenyataan itu.

bottom of page