top of page

AGC: Papar Jalur Gemilang secara tidak wajar boleh dikenakan tindakan undang-undang

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 1 min read

ree

15 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Sebarang kesalahan berkaitan pemasangan atau pemaparan Jalur Gemilang secara tidak wajar yang menimbulkan kekeliruan, salah faham atau kegusaran awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.


Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini menegaskan pihaknya memandang serius sebarang perbuatan memaparkan, mengibarkan atau memasang bendera Malaysia secara tidak teratur atau tidak mengikut tatacara yang sepatutnya.


“Semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menghormati bendera Malaysia sebagai simbol kedaulatan negara serta mematuhi undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa berkaitan penggunaannya,” menurut kenyataan itu.


AGC memaklumkan, antara kejadian dilaporkan termasuk pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang dan di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan.


Selain itu, isu pemaparan bendera Malaysia yang tidak lengkap dalam buku laporan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 serta dalam akaun media sosial rasmi milik beberapa akhbar tempatan.


Dalam pada itu, AGC turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana individu atau pihak yang disyaki melakukan kesalahan tersebut.


“Ia termasuk menyerbu premis pihak disyaki, menularkan maklumat peribadi atau membuat tuduhan melulu di media sosial, serta mencetuskan provokasi atau ugutan terhadap individu atau organisasi terlibat.


“Selain itu, mengambil alih peranan pihak berkuasa seperti mengarah penurunan bendera atau menyita bahan terlibat tanpa kuasa undang-undang,” tambah kenyataan itu.


Justeru, AGC menasihati orang ramai supaya menyalurkan aduan atau maklumat kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page