Ahli-ahli Parlimen persoal janji kerajaan agih 350,000 tablet siswa pada Jun
14 Julai 2022
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan janji kerajaan untuk mengagihkan 350,000 tablet kepada pelajar institut pengajian tinggi pada Jun lalu.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman bertanya sama ada mahasiswa telah menerima tablet yang dijanjikan kerajaan atau sebaliknya.
“Ini dah (Sudah) masuk pertengahan Julai dah ni. Mahasiswa dah dapat tablet belum?,” tanya Syed Saddiq melalui ciapan Twitternya.
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik turut bertanya sama ada 350,000 siswa telah menerima tablet.
“Sekarang sudah Julai. Apakah 350,000 siswa telah terima tablet? Sekadar bertanya,” kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dalam Twitter.
Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata, sudah dua bulan sejak permohonan fasa pertama program PerantiSiswa ditutup namun sehingga kini pelajar masih belum dapat peranti tersebut.
Pada 15 Mei lalu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, peranti tablet percuma akan diagihkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari golongan B40 melalui inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia mulai bulan depan (Jun).
Perdana Menteri memaklumkan, inisiatif berkenaan membabitkan kos sebanyak RM450 juta dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 350,000 mahasiswa.
Comentarii