top of page

Ahli Parlimen Tuaran Desak Perkukuh Khidmat Perundangan dan Wajibkan Rundingan Awal Dengan Sabah

nabalunews
1 day ago
1 min read

KUALA LUMPUR, 2 Nov - Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mencadangkan supaya kemudahan perundangan dan penyelidikan Parlimen diperkukuh bagi membolehkan Ahli Parlimen memainkan peranan lebih berkesan dalam proses penggubalan undang-undang.


Beliau berkata pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen perlu disusuli dengan penyediaan khidmat perundangan yang mencukupi, termasuk membantu Ahli Dewan menyediakan rang undang-undang persendirian dan usul pindaan.


"Ahli Parlimen perlu diberikan akses kepada khidmat perundangan dan penyelidikan supaya mereka bukan sahaja dapat meneliti undang-undang yang dibentangkan kerajaan, tetapi turut berupaya mencadangkan pindaan serta menyediakan rang undang-undang persendirian," katanya.


Madius berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau turut mencadangkan supaya satu tatacara rundingan awal diwujudkan dengan Peguam Besar Sabah dan Sarawak bagi setiap rang undang-undang yang mempunyai implikasi terhadap hak negeri, Senarai Negeri atau Senarai Bersama.


Katanya, penglibatan kerajaan negeri pada peringkat awal penting bagi memastikan segala keperluan persetujuan negeri seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dipatuhi sebelum sesuatu rang undang-undang dibentangkan di Parlimen.


"Kerajaan negeri perlu diberikan ruang untuk meneliti dan memberikan pandangan lebih awal, khususnya apabila sesuatu rang undang-undang menyentuh bidang kuasa serta hak yang termaktub kepada Sabah dan Sarawak," katanya.


Beliau berkata pengukuhan institusi Parlimen dan mekanisme rundingan dengan kerajaan negeri penting bagi memastikan proses penggubalan undang-undang mengambil kira kepentingan semua pihak dalam Persekutuan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page