top of page

Parlimen: Madius Bangkitkan Isu Kekurangan 245 Pegawai Perubatan, Status 13 Projek JLBS

nabalunews
1 day ago
1 min read

KUALA LUMPUR, 2 Nov - Kekurangan kira-kira 245 pegawai perubatan dan status 13 projek Jalan Luar Bandar bernilai RM1.716 bilion di Sabah antara perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika membahaskan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat pada Isnin.


Madius meminta kerajaan mengambil tindakan segera bagi menangani kekurangan tenaga perubatan di Sabah, khususnya di kawasan Beluran, Ranau, Keningau, Sipitang, Beaufort dan Beaufort.


"Kerajaan perlu menyelaraskan penyelesaian bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, termasuk melihat isu elaun wilayah dan kemudahan perumahan bagi menarik serta mengekalkan pegawai perubatan untuk terus berkhidmat di Sabah," katanya.


Beliau berkata kekurangan tenaga perubatan perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan rakyat di kawasan luar bandar mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.


Dalam isu pembangunan infrastruktur pula, Madius meminta Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) menjelaskan status 13 projek Jalan Luar Bandar bernilai RM1.716 bilion yang dilaporkan mengalami pembatalan proses tender sebelum ini.


Katanya, BHESS perlu menyelaras tindakan bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Kewangan bagi memastikan status pembiayaan dan proses pelaksanaan setiap projek dapat diperjelaskan.


"Rakyat Sabah perlu mengetahui bila proses tender akan dilaksanakan semula dan bila kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan.


"Kita memerlukan penjelasan mengenai tarikh tender semula serta tarikh permulaan kerja bagi setiap projek supaya pelaksanaannya dapat dipantau," katanya.


Beliau menegaskan bahawa projek pembangunan luar bandar perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana kelewatan pelaksanaan memberi kesan kepada kemudahan dan kesejahteraan masyarakat setempat.


Madius berkata setiap isu yang dibangkitkan perlu disusuli tindakan konkrit dengan penetapan tanggungjawab agensi pelaksana dan garis masa yang jelas.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page