Albert Tei Gagal Kemukakan Bukti Tujuan Masuk Ke Sabah
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

24 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Larangan masuk Albert Tei ke negeri ini oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) adalah mengikut perundangan dan prosedur sah.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, hasil siasatan mendapati individu berkenaan tersenarai dalam rekod Notis Arahan Sekatan (NAS) yang masih aktif ketika pemeriksaan dokumen dijalankan di pintu masuk LTAKK.
Katanya, malah semasa sesi temu bual oleh pegawai bertugas, individu terbabit memaklumkan tujuan kedatangannya ke Sabah adalah untuk bertemu rakan dan cuba memasuki negeri ini tanpa mengemukakan sebarang bukti tujuan kemasukan.
“Berdasarkan semakan lanjut, arahan NAS Pihak Berkuasa Negeri menetapkan bahawa individu tersebut hanya dibenarkan masuk bagi tujuan menghadiri prosiding mahkamah.
“Namun, semasa pemeriksaan dijalankan, beliau gagal mengemukakan sebarang dokumen atau surat panggilan mahkamah.
“Oleh itu, pegawai bertugas mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) kerana individu berkenaan tidak mematuhi syarat kemasukan sebagai pelawat mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kemyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sh Sitti Saleha berkata, individu sama pernah dibenarkan masuk ke Sabah pada September lalu selepas mengemukakan dokumen panggilan mahkamah kepada pegawai pemeriksa.
Katanya, hal itu membuktikan beliau sedia maklum mengenai prosedur kemasukan yang perlu dipatuhi berdasarkan status NAS yang dikenakan ke atas dirinya.
Sehubungan itu, Sh Sitti Saleha menegaskan kenyataan oleh peguam Albert Tei di Mahkamah Kota Kinabalu pada 24 Oktober 2025, yang mendakwa anak guamnya dihalang hadir ke prosiding mahkamah, adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Tindakan pegawai pada hari kejadian adalah selaras dengan Tatacara Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
“JIM sentiasa memastikan setiap keputusan dibuat berpandukan undang-undang, dokumen berkaitan dan maklumat yang dikemukakan semasa pemeriksaan,” tambahnya.
Sehubungan itu, Sh Sitti Saleha menasihatkan semua individu yang tertakluk kepada NAS supaya mematuhi sepenuhnya syarat kemasukan dan menyediakan dokumen sokongan yang lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan di pintu masuk negara.
Katanya, JIM kekal komited memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara, selain menegakkan prinsip profesionalisme, integriti dan pematuhan undang-undang dalam setiap urusan perkhidmatan.
Tamat


















Comments