Almoner Wilton Dipilih sebagai Pengerusi JKKK N11 Kadamaian Kampung Nahaba 2026
- nabalunews
- 10m
- 1 min read

10 Februari 2026
KOTA BELUD: Pemilihan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) N11 Kadamaian bagi sesi 2026 telah berlangsung dengan lancar di Dewan Terbuka Tamu Desa Nahaba, Kampung Nahaba, Kota Belud, semalam.
Proses pengundian yang bermula pada jam 2.00 petang dan berakhir pada jam 4.00 petang itu menyaksikan penyertaan aktif penduduk kampung yang hadir bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
Seramai tiga calon bertanding dalam pemilihan berkenaan, iaitu Calon No.1 Almoner Wilton, Calon No.2 Sharineh Musa dan Calon No.3 Dinsim Kambaki. Keputusan rasmi menunjukkan Almoner Wilton berjaya memperoleh 115 undi, sekali gus memenangi persaingan tersebut. Sharineh Musa menerima 71 undi, manakala Dinsim Kambaki memperoleh 68 undi.

Menurut rekod Jawatankuasa Pengelola, seramai 257 orang pengundi telah keluar mengundi. Namun demikian, sebanyak tiga undi diklasifikasikan sebagai undi rosak dan tidak diambil kira dalam pengiraan keputusan akhir. Sepanjang proses pengundian, keadaan dilaporkan terkawal serta berlangsung dalam suasana aman dan teratur.

Pemilihan ini dikendalikan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Fandhy Rajin, dengan bantuan Pemaju Mukim Pinol Timun dan Pemaju Mukim William Ginting dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian.

Kejayaan penganjuran pemilihan ini mencerminkan komitmen serta kesedaran masyarakat Kampung Nahaba dalam memperkukuh kepimpinan di peringkat akar umbi, selaras dengan usaha memacu pembangunan dan kesejahteraan kampung pada masa hadapan.














