Angin kencang, laut bergelora di perairan negara mulai 8 Jun
- nabalunews
- Jun 5
- 1 min read

5 Jun 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dijangka melanda perairan negara termasuk Sabah, selama lima hari bermula 8 Jun depan.
Dalam kenyataan hari ini, MetMalaysia memaklumkan angin kencang barat dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak setinggi 3.5 meter diramalkan melanda kawasan perairan Sabah Barat dan Labuan.
Katanya, keadaan sama turut dijangka melanda kawasan perairan Phuket, Selat Melaka Utara, utara Condore, selatan Reef North, Layang-Layang dan Sulu.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah kategori pertama yang mana berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, MetMalaysia juga mengeluarkan amaran kategori kedua dengan angin kencang barat berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dan ombak setinggi 4.5 meter dijangka membadai kawasan perairan utara Phuket, Reef North dan Palawan selama lima hari sehingga 12 Jun.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya.


















Comments