Angkasa serah tajaan RM100,000 kepada Koperasi LLM Berhad, anjur Asean Cultural Night Run @ Penang
- Wartawan Nabalu News
- 7 hours ago
- 2 min read

21 Mei 2025
PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyaksikan acara penyerahan tajaan sebanyak RM100,000 daripada ANGKASA kepada Koperasi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Berhad bagi menjayakan penganjuran ASEAN Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge (ACNR2025).
Replika cek itu disampaikan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah kepada Pengerusi Koperasi LLM Berhad, Dato' Haji Idrus Mat Tais, di Pejabat Menteri KUSKOP.
Ewon berkata, larian itu akan diadakan pada 16 Ogos ini, di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang.
“Program ini bakal menghimpunkan lebih 3,000 peserta termasuk warga koperasi dari seluruh Malaysia dan negara-negara ASEAN.
“Acara larian ini dibuat sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC2025) yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) disamping menyemarakkan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini,” katanya selepas menyaksikan acara ringkas penyerahan sumbangan itu, di pejabatnya, di sini, hari ini.

Ewon berharap, matlamat dan sasaran penganjuran larian ini dapat mencapai sasaran dan mendapat sokongan daripada penggemar acara larian di negara ini.
Majlis turut menyaksikan komitmen kedua-dua pihak, ANGKASA dan Koperasi LLM Berhad untuk memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memperkukuhkan kerjasama strategik dalam penganjuran program ini, sebaik sahaja dokumen dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Penganjuran ASEAN Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge (ACNR2025) ini adalah selaras dengan Prinsip Ketujuh Koperasi, iaitu “Mengambil Berat terhadap Masyarakat”, di mana koperasi tidak hanya berperanan dalam aspek ekonomi tetapi turut mengambil tanggungjawab sosial dengan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti melalui penganjuran aktiviti sihat dan memperkukuh jalinan hubungan serantau.

Sementara itu Abdul Fattah berkata, ANGKASA percaya melalui penganjuran acara ini akan dapat mengukuhkan lagi hubungan kerjasama koperasi di peringkat ASEAN, di samping mempromosikan Malaysia sebagai hab gerakan koperasi serantau yang progresif dan berdaya saing.
“Lebih menarik lagi, ACNR2025 yang dianjurkan pada waktu malam bakal memberikan pengalaman unik kepada para peserta untuk menghayati keindahan panorama dari Jambatan Kedua Pulau Pinang yang ikonik dan tersergam indah.
“Peserta juga digalakkan mengenakan pakaian tradisional sebagai simbolik kepada keharmonian dan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia,” katanya.
Penyertaan ASEAN Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge (ACNR2025) terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan antarabangsa.
Antara kategori larian ialah Fun Run 5KM, manakala larian kompetitif 10KM dibahagikan kepada enam kategori iaitu kategori terbuka lelaki dan wanita, kategori lelaki dan wanita veteran serta kategori kanak-kanak (junior) lelaki dan wanita.

Kategori larian kompetitif 21KM dibahagikan kepada empat kategori iaitu kategori terbuka lelaki dan wanita serta kategori lelaki dan wanita veteran.
Selain acara larian, program ACN2025 turut dimeriahkan dengan aktiviti pameran, jualan serta cabutan bertuah.
Maklumat lanjut berkenaan ACNR2025, layari Facebook: @ANGKASACoop dan Facebook: CulturalNightRun atau laman sesawang rasmi: www.culturalnightrun.com.my
Comments