- Wartawan Nabalu News
Anwar: Kerajaan ingin perkenal sekolah khas untuk golongan paling miskin

6 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KEPALA BATAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berazam untuk memperkenalkan sekolah bagi anak-anak daripada golongan paling miskin di negara ini agar golongan tersebut mendapat peluang untuk melanjutkan Pelajaran.
Jelas beliau, sekolah khas itu akan berkonsepkan sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh yang menyediakan kemudahan dan pengajaran berkualiti.
"Kita ada sekolah yang memberi ruang kepada anak-anak yang miskin khususnya yang paling miskin serta keputusan (akademik) yang tidak memuaskan. Kita beri mereka peluang untuk belajar," katanya pada program Temu Anwar: Bicara Pendidikan Madani di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, di sini, pada Sabtu.
Beliau juga berkata, kerajaan komited untuk memberikan hak pendidikan kepada semua orang tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi.
"Peluang pendidikan perlu diberikan secara saksama supaya tiada mana-mana golongan tercicir daripada pendemokrasian mutu pendidikan," katanya.