Anwar: TKI tanpa dokumen dihantar pulang, Malaysia tangani isu dengan baik

6 Sept 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa puluhan ribu Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang tidak mempunyai dokumen sah telah dihantar pulang ke negara asal mereka oleh kerajaan Malaysia.
Beliau berkata kerajaan Malaysia telah menangani isu ini dengan baik, tanpa mengambil tindakan undang-undang terhadap TKI yang terbabit.
"Kalau yang sudah ditangkap, dikirim (dihantar) pulang, dan kita percepatkan proses itu," katanya kepada media selepas menghadiri Program Temu Anwar, di sini pada malam Selasa.
Beliau juga menjawab soalan media tempatan mengenai perkembangan dalam menyelesaikan masalah TKI di Malaysia, selepas kunjungan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia pada Jun lepas.
Jelas beliau, kedua-dua negara telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dan komunikasi dalam hal ehwal pekerja.
Dalam pada itu, Anwar juga menyentuh mengenai isu Laut China Selatan yang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN hari ini. Beliau menegaskan bahawa ASEAN mempunyai pendirian yang sama untuk mempertahankan hak dan kepentingan mereka dan berunding dengan baik dengan China.
Sementara itu, beliau menyambut baik keputusan pemimpin ASEAN untuk melantik Filipina sebagai Pengerusi ASEAN pada 2026, selepas Myanmar menarik diri kerana krisis politik dan kemanusiaan yang berlaku di negara itu.
Beliau berkata ini adalah satu perkembangan yang sangat positif dan menunjukkan solidariti ASEAN.
"Tahun depan Laos diikuti Malaysia, kemudian sepatutnya Myanmar, tetapi konsensus tadi oleh kerana belum selesai masalah Myanmar, soal penindasan dan konflik berterusan maka diserahkan kepada Filipina, dan Presiden (Ferdinand) Marcos Jr tadi setuju," katanya.
Comments