top of page

APMM tahan bot kargo pembekal barangan bersubsidi ke Pulau Sebatik

nabalunews

23 Januari 2025


Oleh: Wartawan Nabalu News


TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo pembekal barangan bersubsidi ke Pulau Sebatik kerana disyaki melanggar syarat sah membawa muatan petroleum, sekitar jam 8.30 malam pada Isnin lepas.


Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman dalam kenyataan media hari ini berkata, tangkapan dibuat bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris.


Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas bot kargo itu didapati membawa muatan jenis petrol dan diesel di dalam tong drum sebanyak 10, 600 liter dan 411 gas cecair (LPG) dari perairan Tanjung Batu menuju ke perairan Sebatik.

Kapal kargo memuatkan barangan bersubsidi ditahan kerana disyaki melanggar syarat sah membawa muatan petroleum.
Kapal kargo memuatkan barangan bersubsidi ditahan kerana disyaki melanggar syarat sah membawa muatan petroleum.

"Tiga lelaki warganegara berumur di antara 33 hingga 45 tahun turut berada di atas bot tersebut, manakala pemeriksaan dokumentasi mendapati terdapat perlanggaran peraturan ketika membawa muatan petroleum dan tong gas LPG dengan mengabaikan aspek keselamatan.


"Aspek keselamatan juga perlu dititik beratkan oleh pengusaha-pengusaha bot, terutamanya ketika membawa muatan yang berbahaya seperti produk petroleum bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,"katanya lagi.


Shahrizan berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.


Tambahnya, nilai rampasan termasuk bot kargo tersebut dianggarkan sekitar RM136, 000.


Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089- 752116 dan talian kecemasan 999, sekiranya terdapat sebarang salah laku jenayah berlaku di sekitar perairan Tawau.

Kommentarer


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page