Asia perlu pastikan aturan ekonomi baharu tidak bawa perpecahan – PM
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

1 September 2025
KUALA LUMPUR: Sebagai rantau yang kini memacu pertumbuhan global, Asia memikul amanah untuk memastikan aturan baharu ekonomi tidak membawa perpecahan, sebaliknya membina kerjasama demi kemakmuran bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika suasana dunia yang penuh ketidaktentuan, Asia perlu menulis masa depan dengan ‘dakwat Asia’ bagi memastikan ekonomi yang adil dan inklusif.
“Hari ini kita menyaksikan tatanan dunia yang kian goyah. Peraturan dagangan berubah sesuka hati, kawalan eksport diumum dan ditarik balik sekelip mata dan perpecahan menjadi pilihan.
“Dalam kekalutan itu, kita punya tanggungjawab untuk memastikan sejarah dan tatanan dunia masa hadapan ditulis dengan dakwat Asia agar ia lebih adil, lebih terangkum dan memberi peluang kepada semua,” katanya.
Beliau yang kini sedang dalam lawatan kerja empat hari ke China berkata demikian dalam perkongsian di laman Facebook rasminya selepas diberi penghormatan menyampaikan syarahan umum di Universiti Tianjin, pagi tadi.
Anwar berkata, perpecahan bukan sesuatu yang ditakdirkan, dan setiap orang boleh memilih jambatan atau membina tembok, memilih kerjasama atau persaingan sempit.
“Jika semangat ini kita teguhkan, Asia akan melangkah ke hadapan dengan bermaruah, kekal berpendirian namun terbuka antara satu sama lain. Di situlah lahir kekuatan kita, dan di situlah kita memperteguh Asia di persada dunia,” katanya.
Dalam mendepani kekalutan global, katanya Malaysia menawarkan jalan berbeza iaitu menerusi kedaulatan dalam kebergantungan, yang disifatkannya sebagai seni untuk berdiri teguh tanpa perpecahan.
Beliau berkata, negara boleh kekal sepenuhnya dengan pendirian dan kedaulatan, namun terbuka kepada aliran perdagangan, sumber dan teknologi yang diperlukan untuk mencapai kemakmuran bersama.
“Inilah semangat “harmony without uniformity” yang sudah lama berakar di Asia. Kedaulatan dalam kebergantungan adalah terjemahan moden kepada semangat ini,” jelasnya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan kepercayaan dan persahabatan yang terjalin antara Malaysia dan China sejak setengah abad lalu.
Menurutnya, keputusan Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China pada 1974 adalah langkah berani berlandaskan keyakinan pada masa depan, yang berkembang menjadi kepercayaan.
“Setiap pertemuan saya dengan Presiden Xi Jinping mengukuhkan kefahaman bahawa meskipun berbeza dari segi saiz, kedua-dua negara mampu berdiri setara dengan penuh hormat dan keikhlasan.
“Daripada asas inilah lahir kerjasama merangkumi projek infrastruktur yang menghubungkan ekonomi, kerjasama tenaga hijau dan ekonomi digital, malah kemudahan perjalanan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Comments