Aspirasi tempatan harus jadi asas perundingan gabungan besar politik di Sabah
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

13 Mei 2025
PUTRJAYA: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mahu aspirasi tempatan menjadi asas kepada perundingan gabungan politik Sabah.
Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick dan Presiden PBRS Datuk Arthur Joseph Kurup dalam kenyataan bersama, menyatakan aspirasi tempatan tersebut penting kepada gabungan besar politik menghadapi pilihanraya negeri tanpa menjejaskan kestabilan politik dan keharmonian rakyat yang diperlukan untuk membangunkan masa depan Sabah dan menjadikan Persekutuan Malaysia lebih baik.
“UPKO dan PBRS akan terus menyumbang kepada perpaduan rakyat Sabah serta pada masa yang sama ingin menyumbang kepada kesatuan rakyat Malaysia.
“UPKO dan PBRS yang menganggotai gabungan politik kebangsaan ketika ini merupakan ‘jambatan Sabah di Putrajaya’ dengan memainkan peranan yang sama konsisten dengan parti-parti yang lain dalam memperjuangkan isu-isu yang menjadi keprihatinan utama di Sabah termasuklah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Perjuangan ‘Sabah First’ memerlukan kerjasama semua parti politik di Sabah yang harus dijayakan melalui hubungan baik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri secara perundingan yang bijaksana, bukannya secara konfrontasi,” katanya.
Ewon dan Arthur menyatakan kedua-dua UPKO dan PBRS turut sama berjuang melalui platform gabungan masing-masing untuk menuntut pelaksanaan MA63 dan rancangan pembangunan di Sabah.
“UPKO dan PBRS menyuarakan pelbagai isu di Sabah dalam platform gabungan politik masing-masing, termasuk di Kabinet.
“Ini terbukti berkesan dengan sembilan (9) tuntutan di bawah MA63 diselesaikan oleh Kerajaan MADANI hari ini, manakala empat (4) telah diselesaikan oleh kerajaan terdahulu.
“UPKO dan PBRS akan terus memperjuangkan tuntutan-tuntutan MA63 yang selebihnya termasuk keperluan pembangunan ‘Sabah First’ dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketigabelas, 2026-2030 mengikut pendekatan perundingan dan kerjasama dengan parti-parti lain yang ada di Sabah,” katanya.
Opmerkingen