Awasi anak-anak dalam era perkembangan pesat media sosial: Yazid
nabalunews

28 Januari 2025
Oleh: Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Ibu bapa perlu sentiasa mengawasi anak-anak dalam era perkembangan pesat media sosial yang memaparkan pelbagai perkongsian yang tidak pasti kesahihannya.
Ketua Biro Agama Islam Dewan Undangan Negeri Sabah N.40 Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, ia berikutan pelbagai perkara boleh dilakukan melalui media sosial pada masa kini.
Justeru itu katanya, pemantauan dari masa ke masa perlu dilakukan oleh ibu bapa terhadap anak-anak.
"Perkongsian yang dihantar di media sosial seperti whatsapp dan lain-lain, perlu diambil perhatian sejauh mana kesahihnnya.
“Kita jangan terus mempercayainya dan apa yang lebih penting kita perlu merujuk dengan pihak-pihak yang berkenaan seperti pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana mana pihak yang berkaitan dengan isu yang diviralkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin semasa merasmikan penutupan Program Ukhuwah Bertaut @ Masjid AR Rasyid Kampung Kota Ayangan, dekat sini, pada Ahad.
Turut hadir Ketua Kampung, Musa Numan, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid AR Rasyid, Imam Isham Mahadi serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung, Jamatin Kuman.
Program berkenaan dianjurkan Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid AR Rasyid Kota Ayangan siri 1.0 yang bertempat di Masjid AR Rasyid.
Pelbagai pengisian telah diadakan sepanjang lima hari program berkenaan antaranya Khatan Perdana, derma darah, pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), pertandingan berunsur keagamaan dan ceramah agama.
Sehubungan itu, Yazid mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid atas kejayaan mengadakan program yang amat bermanfaat kepada masyarakat khususnya masyarakat Islam kampung berkenaan.
Yazid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor berkata, program berkenaan sudah tentu mampu membantu mengimarahkan masjid.
'Program ini juga salah satu aktiviti yang boleh mendekati masyarakat Islam dan juga kanak kanak" katanya.
Comments