Bagi Maklumat Palsu Mohon Kad Pengenalan, Lelaki Didenda RM8,000
- nabalunews
- Mar 1
- 1 min read

1 Mac 2026
RANAU: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Ranau selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memberikan maklumat palsu bagi tujuan permohonan kad pengenalan.
Tertuduh, Mohd Safaaudin Mohd Pahalan, 60, mengaku bersalah mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Berdasarkan fakta kes, pada 1 Oktober 2025, Pegawai Penguat Kuasa, Jabatan Pendaftaran Negara Sabah dengan kerjasama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau berjaya menahan tertuduh di Pejabat JPN Daerah Ranau.
Tertuduh didapati memberikan maklumat palsu sebagai penganjur bagi dua permohonan kad pengenalan yang dibuat pada tahun 2020 dan 2022 di pejabat sama.
Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama lapan bulan.
Minit pendakwaan dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sabah, Nurul Shafeerah Mad Iskim dan Pegawai Pendakwa, Anne Nur Ain Charles Abdullah.
Sehubungan itu, Bahagian Penguatkuasaan JPN Negeri Sabah menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba memberikan maklumat palsu atau mengemukakan dokumen tidak sah dalam urusan pendaftaran negara selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.















Comments