Bangunkan tanah milik isirumah e-Kasih di bawah projek khas pendapatan rakyat – Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bangunkan tanah milik isirumah e-Kasih di bawah projek khas pendapatan rakyat – Ewon

27 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya tanah milik isirumah e-Kasih dibangunkan di bawah projek khas inisiatif pendapatan rakyat.


Beliau berkata, ini penting bagi menambah sumber pendapatan mereka seterusnya mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.


“Kita harus menggembleng tenaga untuk membawa keluar rakyat kita di Sabah dari belenggu kesusahan dan kemiskinan. Kita tidak mahu Sabah terus dikenali mempunyai daerah-daerah termiskin di negara ini.


“Oleh itu saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) atau Institut Kajian Pembangunan (IDS) menjalankan kajian berapa banyak senarai daftar e-Kasih yang memiliki tanah samada yang sudah diberi geran pemilikan atau masih di peringkat permohonan tanah.


“Seterusnya kita membangunkan program khas inisiatif pendapatan rakyat bagi senarai e-Kasih yang mempunyai tanah ini dengan membangunkan tanah mereka sebagai sumber punca pendapatan isirumah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan Bajet Negeri Sabah 2024, pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Ewon berkata, projek pembangunan insiatif pendapatan rakyat khas tersebut boleh dicadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk pembiayaan.


“Kita semua tahu aset tanah tidak dikira sebagai faktor pertimbangan semasa menentukan garis kemiskinan isirumah, justeru kita boleh membangunkan program khas bagi yang memiliki aset tanah,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page